MH Online

Laman Suara Rakyat

Akta SOSMA Akan Ditambah Baik

Akta SOSMA Akan Ditambah Baik

KUALA LUMPUR, Kerajaan akan menambah baik Akta Hasutan 1948 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata SOSMA masih relevan dan penting bagi memelihara ketenteraman awam dan keselamatan negara.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih memerlukan undang-undang sedemikian bagi membanteras dan membendung ancaman keselamatan seperti pengganas dan sindiket jenayah terancang.

“Kerajaan komited untuk menambah baik undang-undang keselamatan termasuk SOSMA dan Akta Hasutan,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Su Keong Siong (PH-Kampar) di Dewan Rakyat.

Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini bercadang memansuhkan Akta Hasutan 1948.

Dalam pada itu, menjawab soalan Willian Leong Jee Keen (PH-Selayang), Hamzah berkata, seramai 16 rakyat Malaysia dikaitkan dengan kumpulan militan yang berada di Syria sudah kembali ke negara ini.

“Jumlah ini adalah merangkumi 12 orang dewasa dan 4 orang kanak-kanak.

“Daripada 12 orang dewasa itu, sembilan orang sudah pun dijatuhkan hukuman penjara oleh mahkamah, seorang masih lagi di dalam proses perbicaraan di mahkamah, seorang sedang menjalani Perintah Sekatan mengikut Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) dan baki seorang lagi dibebaskan.

“Bagi 4 orang kanak-kanak itu, mereka sudah diserahkan kepada keluarga,” katanya menjawab pertanyaan mengenai tindakan yang diambil terhadap mereka dan langkah diambil kerajaan untuk memastikan mereka tidak melaksanakan aktiviti pengganas atau militan di Malaysia.