MH Online

Laman Suara Rakyat

Akta Pilihan Raya Perlu Dipinda Elak Lompat

Akta Pilihan Raya Perlu Dipinda Elak Lompat

KUALA LUMPUR, Akta Pilihan Raya perlu dipinda bagi menghentikan amalan lompat parti sekali gus menjejaskan kestabilan sesebuah kerajaan.

Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (BN-Padang Rengas) mencadangkan demikian berkata pindaan itu membolehkan kerusi sesuatu kawasan pilihan raya secara undang-undang diwakili oleh parti bukan individu tertentu.

Beliau berkata rakyat tidak gemar tindakan melompat parti dalam kalangan wakil rakyat.

Katanya, langkah berkenaan juga bukan saja mampu menghalang keruntuhan sesebuah parti politik, malah dapat membanteras jenayah rasuah.

“Ia banyak menyelesaikan masalah. Kita bertanding di atas lambang (parti), sebagai contoh, BN menang di Padang Rengas, bukan saya yang bertanding tetapi parti. Kemudian, BN memilih wakil, Nazri Aziz sebagai Ahli Parlimen (di kawasan itu).

“Satu hari, katakan Nazri dilantik dalam Jemaah Menteri. Kalau saya ada perbezaan pendapat dengan Perdana Menteri atau sesiapa, saya tidak boleh terima dan nak berhenti, maka saya berhenti seoranglah, saya tidak bawa kerusi.

“Jadi, Padang Rengas tetap milik BN. Apabila saya keluar BN, tidak jadi menteri, maka parti akan tunjukkan orang lain pula sebagai Ahli Parlimennya.

“Inilah yang saya mahu cadangkan. Kalau ini dilakukan, tidak jadilah perkara ini (lompat parti),” katanya ketika membahaskan usul junjung kasih terhadap Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamed Nazri berkata, apabila berlaku lompat parti sehingga menyebabkan wujud majoriti kecil yang membezakan kerusi kerajaan dan pembangkang, ketika itu juga rasuah boleh berlaku.

“Apabila kerajaan jatuh, maka mereka mahukan sokongan. Pada sesetengah Ahli Parlimen, ini adalah “harvesting time” sebab dia boleh ‘jual’ kerusi dia. Kalau di sini ada 111 kerusi dan di sana ada 109 kerusi, jadi mungkin ada dua tiga Ahli Parlimen yang “harvest”, maknanya mencari duit.

“Ini bermakna (mereka) terbuka untuk dirasuahkan. Jadi, kalau bertanding dengan memakai lambang (parti), kita tidak boleh jual diri kita. Jadi, ia juga boleh membanteras rasuah,” katanya.

Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) ketika mencelah mencadangkan supaya undang-undang lompat parti itu diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Mohamed Nazri bagaimanapun menjelaskan, perkara itu tidak boleh dilakukan kerana ia melanggar hak asasi dan kebebasan bersuara yang diperuntukkan di bawah perlembagaan.

Katanya, ia terbukti apabila undang-undang lompat parti yang dilaksanakan di Kelantan dicabar dan diputuskan tidak sah oleh mahkamah sebelum ini.