Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Akta Gangguan Seksual Akan Digubal

Akta Gangguan Seksual Akan Digubal

KUALA LUMPUR, Kerajaan akan menggubal Akta Gangguan Seksual bagi menangani jenayah itu khususnya di tempat kerja.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, berkata pada masa ini kementerian sedang menunggu hasil kajian impak untuk dijadikan panduan menggubal akta itu.

Akta berkenaan, katanya, akan dapat menangani kelemahan dalam perundangan dan peraturan sedia ada berhubung gejala gangguan seksual.

“Pada masa ini kita tidak ada undang-undang khusus bagi gangguan seksual tetapi kita ada kod etika dan peraturan atau garis panduan.

“Buang kerja adalah hukuman paling berat dan kalau kita mahu pesalah dipenjara, kita perlu guna kanun keseksaan dan ramai mangsa tidak bersedia. Oleh itu, kita perlukan akta yang spesifik,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Isu berkaitan dibangkitkan oleh Datuk Halimah Mohd Sadique (BN-UMNO Tenggara) dalam Dewan Rakyat hari ini.

Kod etika dan garis panduan sedia ada ialah Kanun Keseksaan, Akta Kerja 1955, Kod Amalan Untuk Mencegah dan Membasmi Gangguan Seksual di Tempat Kerja dan Garis Panduan Mengendalikan Gangguan Seksual di Tempat Kerja Dalam Perkhidmatan Awam.

Hannah berkata, kementerian juga akan mengkaji beban bukti yang dihadapi mangsa gangguan seksual dan bersedia memperkenalkan piawaian berbeza bagi memastikan jenayah itu dapat dibuktikan.

Katanya, banyak mangsa gangguan seksual tidak melaporkan kes kerana jenayah itu bersifat subjektif dan sukar untuk mengemukakan bukti bahawa mereka menjadi mangsa.

“Gangguan seksual sangat subjektif, kadang-kala ia bukan fizikal tapi lisan, kenyataan yang bercanggah, jadi bila kita mahu gubal akta itu nanti kita akan pastikan beban bukti mangsa adalah standard yang berlainan,” katanya.

Leave a Reply

Top