Anda di sini!
Utama > Sukan > Ajax Dahului Kumpulan H

Ajax Dahului Kumpulan H

Ajax menghampiri kelompok 16 Liga Juara-Juara selepas gergasi Belanda itu menewaskan Lille 2-0 untuk mendahului Kumpulan H dengan kelebihan dua mata ketika hanya satu perlawanan berbaki.

Hakim Ziyech menjaringkan gol terpantas kejohanan tahun ini ketika permainan berusia kurang dua minit, dan Quincy Promes menambah jaringan di babak kedua untuk gol keempatnya dalam saingan kali ini.

Juara empat kali Eropah, Ajax kini mengumpul 10 mata daripada lima perlawanan, dua mengatasi Valencia dan Chelsea yang terikat 2-2 di Sepanyol.

Ajax akan melayan kunjungan Valencia, yang pernah mereka tewaskan 3-0, pada aksi terakhir kumpulan bulan depan.

“Kami amat mengenali satu sama lain. Kami tidak perlu bercakap sesama sendiri di atas padang. Kami akan turun untuk memenangi perlawanan terakhir, sebab itu kami bermain bola sepak,” kata Ziyech.

Pengendali Ajax Erik ten Hag berkata: “Kemenangan ini hak kami. Secara taktikal kami hampir sempurna dan kami mengendali permainan ini amat baik sekali.”

Ajax membuka jaringan hanya selepas 94 saat hasil gandingan dua pemain Maghribi, Zakariya Labyad yang mencetus gerakan dan disudahkan oleh Ziyech.

Ziyech kemudian membuat hantaran menarik yang disempurnakan Promes – pemain Ajax pertama meledak empat gol dalam kejohanan sejak Patrik Kluivert mencatat lima gol pada musim 1995-1996. – AFP

Leave a Reply

Top