MH Online

Laman Suara Rakyat

Airbnb Sumbang RM3.98 Bilion KDNK

Airbnb Sumbang RM3.98 Bilion KDNK

Airbnb menyumbang sebanyak RM3.98 bilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dalam sektor pelancongan, sekali gus menyokong lebih dari 52,100 pekerjaan tempatan pada 2019, lapor Oxford Economics.

Menerusi laporan bertajuk Impak Ekonomi Airbnb di Malaysia, firma terkemuka global itu menjelaskan, antara 2015 hingga 2019, tetamu Airbnb membelanjakan sejumlah RM11.8 bilion, meningkat pada kadar tahunan sebanyak 79.6 peratus di Malaysia.

Katanya, bagi setiap RM100 yang dibelanjakan oleh pelancong Airbnb di luar penginapan mereka, kira-kira RM49 dibelanjakan untuk membeli-belah, aktiviti dan barang-barang lain yang berkaitan sementara RM24 dibelanjakan untuk restoran.

Walaupun bahagian terbesar perbelanjaan berlaku di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, namun laporan tersebut memperkukuhkan bahawa Airbnb membawa manfaat pelancongan kepada komuniti lain.

Kawasan seperti Johor dan Sabah telah menyaksikan bahagian sumbangan mereka kepada KDNK nasional meningkat dua kali ganda dari 2015 hingga 2019, masing-masing dari 4.0 peratus hingga 9.3 peratus dan 4.9 peratus hingga 10.7 peratus.

Laporan itu menjelaskan, sebelum penularan koronavirus (Covid-19) lagi Airbnb telah mewujudkan peluang kepada keluarga, perniagaan kecil dan komuniti yang mendapat keuntungan daripada penginapan sewa jangka pendek di seluruh Malaysia dan rantau Asia Pasifik.

Sementara itu, Pengarah Dasar Awam, Asia Pasifik, Airbnb, Mike Orgill berkata, laporan itu mengesahkan komuniti Airbnb adalah cara yang terbukti berkesan untuk mengembangkan sektor pelancongan di Malaysia untuk membantu komuniti tempatan dan mencipta puluhan ribu pekerjaan tempatan

Jelasnya, walaupun laporan ini membincangkan situasi lalu yang terkini, mereka percaya laporan itu menawarkan pandangan yang tepat dalam mempertimbangkan adakah kerangka kerja kawal selia semasa kekal relevan.