MH Online

Laman Suara Rakyat

Air Asia Bakal Mula Operasi Di Melaka

Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Berhad (AirAsia), dijangka memulakan operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam di sini, dalam tempoh terdekat.

Perkhidmatan penerbangan terbaru itu membabitkan laluan Melaka ke Jakarta, Indonesia dan Guangzhou, China.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata syarikat penerbangan dari Indonesia, Xpress Air turut menawarkan laluan Melaka ke Bandung, Indonesia.

Katanya, kesediaan AirAsia beroperasi di LTAM tepat pada masanya kerana Melaka kini menjadi tumpuan pelancong, khususnya dari luar negara selepas mendapat status Bandaraya Warisan Dunia pada 7 Julai 2008.

“Kemasukan dua syarikat penerbangan ini bukan saja meningkatkan jumlah pelancong ke Melaka, malah memudahkan pelancong dalam sektor perubatan berurusan dalam mendapatkan rawatan di negeri ini.

“LTAM turut menyediakan perkhidmatan penerbangan melalui syarikat Malindo Air dan China Southern Airline,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Melaka Maju Negeriku Sayang Fasa Kedua di sini, hari ini.

Yang turut dihadiri, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Othman Muhamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Naim Abu Bakar dan Pengarah Kewangan Negeri, Datuk Roslan Ibrahim.