Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Ahmad Zahid Yakin Sokongan Ahli PAS

Ahmad Zahid Yakin Sokongan Ahli PAS

SHAH ALAM, UMNO yakin ahli PAS tidak akan mengundi PKR dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada Sabtu ini.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkara itu dikukuhkan lagi melalui kenyataan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan yang mengulangi pendirian menentang Pakatan Harapan (PH) yang didakwa mengetepikan Islam dan masyarakat Melayu.

“Saya menghargai segala usaha yang dilaksanakan oleh jentera Barisan Nasional (BN) dan rakan-rakan kita daripada PAS dalam PRK ini.

“Dalam tempoh kurang 72 jam tempoh kempen yang ada, ia (kerjasama UMNO dan PAS) dikukuhkan lagi dengan kenyataan Takiyuddin hari ini yang menunjukkan komitmen tinggi menerusi persetujuan dicapai (menolak PH) antara Mursyidul Am PAS (Hashim Jasin), PAS Kota Raja dan semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) di DUN Sungai Kandis.

“Saya berharap ia dapat diterjemahkan melalui undi kepada calon BN, Datuk Lokman Noor Adam nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di PDM Jalan Kebun di sini, malam tadi.

Takiyuddin sebelum ini meminta ahli PAS di Sungai Kandis membuat pilihan berpandukan pertimbangan yang wajar demi kepentingan Islam, masyarakat Melayu dan masa depan negara.

Dalam pada itu, kata Ahmad Zahid, sambutan pengundi kepada BN setakat ini menunjukkan hasil yang positif.

“Mereka (pengundi) menyatakan kekecewaan yang amat jelas dengan pentadbiran kerajaan PH yang memasuki tempoh 70 hari ketika ini.

“Ia berdasarkan pertemuan jentera BN dengan mereka di beberapa lokasi kempen. Calon kita (Lokman) juga turut menerima reaksi sama oleh rakyat di DUN itu,” katanya.

Leave a Reply

Top