Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Ahmad Zahid Sedang Kumpul Maklumat

Ahmad Zahid Sedang Kumpul Maklumat

KUALA LUMPUR, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sedang mengumpulkan maklum balas daripada pemimpin dan ahli bahagian dalam usaha mendapatkan input mengenai masa depan parti.

Perkara itu diberitahu seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi (AMKT), Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin, selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) di Menara Datuk Onn yang dipengerusikan Ahmad Zahid, pagi tadi.

“Ahmad Zahid ketika ini sedang mengumpulkan maklumat dan maklum balas daripada ahli parti dan bahagian.

“Info dan maklum balas itu akan digunakan untuk dimasukkan sebagai isi atau perkara yang bakal disentuh presiden dalam ucapan dasarnya.

“Data yang diperoleh itu akan digunakan untuk merangka, sekali gus memacu hala tuju parti,” dipetik sebagai berkata.

Ahmad Zahid dijadualkan untuk memberi ucapan dasar yang akan disampaikan sebelah malam pada 29 September ini.

Perhimpunan Agung UMNO 2018 yang akan berlangsung pada Sabtu dan Ahad minggu ini, sedikit berbeza apabila buat kali pertama, ucapan dasar presiden diadakan sebelah malam.

Sebelum ini, ucapan dasar presiden biasanya diadakan pada sebelah pagi selepas upacara perbarisan dan menaikkan bendera UMNO.

Mengulas lanjut intipati mesyuarat MT hari ini, Mohd Shakar berkata, selain menyentuh soal persediaan perhimpunan agung, kerjasama dengan PAS turut menjadi perhatian Presiden UMNO itu.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut perkara itu.

Sementara itu, seorang lagi AMKT, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mengesahkan mesyuarat MT yang berlangsung lebih tiga jam itu tidak membincang langsung Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Leave a Reply

Top