Share on Facebook

KUALA LUMPUR, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menghargai keputusan perwakilan Perhimpunan Agung UMNO yang sebulat suara menyokong jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti itu.

Ahmad Zahid berkata, keputusan itu membolehkan kepemimpinan UMNO memberi tumpuan terhadap Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Katanya, kepercayaan menerusi persetujuan sebulat suara itu adalah tanggungjawab kepada kepemimpinan parti untuk bekerja keras pada PRU-14

“Saya berterima kasih kepada Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang melontarkan cadangan itu, begitu juga kepada pencadang usul yang juga wakil Pemuda UMNO serta penyokong dari Perak.

“Penghargaan juga kepada Badan Perhubungan Negeri yang menyokong cadangan ini termasuk mahu mengekalkan jawatan Naib Presiden disandang Hishammuddin sebagai jawatan kanan dan tidak dipertandingkan,” katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO, hari ini.

Ahmad Zahid mengulas keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2017 meluluskan usul dikemukakan Pemuda supaya dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan pada pemilihan tahun depan.

Keputusan itu diumumkan Pengerusi Tetap, Tan Sri Badruddin Amiruldin selepas usul dicadangkan oleh wakil Pemuda dan disokong oleh wakil Perak sebelum dibahaskan wakil negeri serta jurucakap Wanita dan Puteri.

Sementara itu, Hishammuddin mengakui lega usul yang asalnya disuarakan beliau di luar perhimpunan mendapat perhatian pembahas dan perwakilan, seterusnya diluluskan perhimpunan parti.

Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Usul parti, beliau terharu kerana proses demokrasi dalam UMNO berjalan dengan subur yang mana perwakilan membuat pendirian.

“Asalnya cadangan ini adalah pendirian peribadi saya bersandarkan keinsafan bahawa tumpuan sepenuhnya perlu diberikan kepada PRU-14.

“Saya lega walaupun tidak terkandung dalam usul asal secara demokratik, perwakilan menyedari perkara ini dan atas semangat setia kawan dan mahu menumpukan kepada pilihan raya.

“Akar umbi sudah membuat keputusan ini,” katanya.

Mengulas mengenai pengekalan jawatan Naib Presiden yang disandangnya, beliau menganggap ia sebagai satu amanah.

“Dengan keputusan hari ini, jangan ada pihak melagakan kami. Ini satu bentuk pemahaman dan mendapat restu perwakilan,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *