Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Ahmad Zahid Dijangka Menang

Ahmad Zahid Dijangka Menang

Pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka memenangi dalam saingan merebut jawatan Presiden Umno, Sabtu ini.

Ramalan ini dibuat oleh Sin Chew Daily berdasarkan keputusan pemilihan daripada 191 bahagian di seluruh negara serta ketiga-tiga sayap parti kelmarin.

Akhbar ini menulis, bagi jawatan Ketua Pemuda, kekalahan Khairul Azwan Harun kepada bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memberi tamparan hebat kepada Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang akan menentang Ahmad Zahid.

“Khairul Azwan adalah orang kanan Khairy Jamaluddin. Kekalahannya sudah pasti tidak akan memihak kepada bekas Ketua Pemuda itu untuk bertanding kerusi presiden,” lapor akhbar ini.

Dalam pada itu, seramai 74 ketua bahagian yang menang tanpa bertanding dalam pemilihan bahagian di seluruh negara juga menjadi satu lagi faktor Ahmad Zahid dilihat tidak sukar untuk menduduki kerusi No 1 dalam Umno.

“Rata-rata ketua bahagian yang ada pada hari ini adalah penyokong kuat kepada pucuk pimpinan parti sekarang. Ahmad Zahid akan memperoleh sokongan kuat daripada ketua-ketua bahagian ini,” kata akhbar ini.

Antara ketua-ketua bahagian yang menang tanpa bertanding dalam pemilihan kali ini termasuk bekas Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak (Pekan); Ahmad Zahid (Bagan Datuk); Pemangku Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Hissamuddin Hussein; Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor; bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman (Pengerang) dan bekas Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Padang Rengas).

Pada pemilihan tahun 2013, Ahmad Zahid memperoleh undi tertinggi untuk jawatan Naib Presiden. Dengan kebanyakan ketua bahagian mengekalkan jawatan masing-masing akan mengukuhkan lagi kedudukan Ahmad Zahid biarpun turut dicabar oleh veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah.

Akhbar ini berpendapat, kemenangan 74 ketua bahagian tanpa dicabar turut menunjukkan majoriti ahli Umno masih tidak mempunyai keinginan  melakukan transformasi untuk parti.

“Keinginan ahli-ahli Umno untuk kekal dalam situasi sekarang menandakan mereka masih belum bersedia melakukan perubahan secara drastik. Dan ini sudah tentu memberikan peluang cerah kepada Ahmad Zahid dalam pemilihan Presiden Umno Sabtu ini,” kata akhbar ini.

BN bakal berkubur jika teruskan politik perkauman

Masa depan Barisan Nasional (BN) tidak mampu berubah seperti apa yang berlaku dalam PRU14 sekiranya perjuangannya masih melandaskan politik perkauman.

Umno yang kini menjadi tunjang kepada BN yang masih memperjuangkan nasib Melayu dan begitu juga dengan MCA dan MIC yang masing-masing dianggotai kaum Cina dan India bakal berkubur kerana tidak akan lagi disokong rakyat.

Penganalisis politik, Datuk Cheah See Kian berpendapat, pemilihan Umno kali ini menjadi tanda arah perjuangan parti itu kerana sekiranya ahli-ahli Umno tidak dapat memilih satu barisan kepimpinan yang mantap dan bersedia melakukan transformasi, tidak mustahil akan ada lebih ramai ahli Umno meninggalkan parti itu.

“Kemungkinan akan ada lebih ramai ahli parlimen Umno keluar meninggalkan parti dan menyertai Bersatu.

“Sekiranya berlaku keadaan sedemikian, kewujudan Umno sememangnya tidak mempunyai sebarang makna lagi,” katanya kepada China Press.

Menurut beliau, MCA, Gerakan dan MIC gagal mencapai keputusan yang baik dalam PRU14, besar kemungkinan adalah disebabkan Umno yang memperjuangkan politik berasaskan perkauman.

“Pemimpin-pemimpin Umno perlu berani melakukan pembaharuan supaya dapat meyakinkan kembali kepercayaan ahlinya. Jika tiada sebarang perubahan dan keadaannya sama seperti hari ini, tidak ada gunanya MCA dan MIC terus kekal dalam BN,” katanya.

Menurutnya, sekiranya BN mampu memberikan imej baharu kepada rakyat dalam tempoh tiga tahun akan datang, beliau yakin BN akan mampu kembali menerima sokongan daripada rakyat.

Leave a Reply

Top