Kekosongan jawatan Mursyidul Am PAS berikutan kematian Datuk Dr Haron Din akan diisi Timbalannya, Datuk Ahmad Yaakob yang juga Menteri Besar Kelantan.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata Ahmad akan mengambil alih jawatan itu buat masa ini kerana beliau merupakan pimpinan No.2 tertinggi dalam hieraki parti tersebut.

“Satu mesyuarat akan diadakan kemudian bagi mengumumkan pelantikan itu secara rasmi,” katanya.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Dr Mohamed Mahfodz turut bersependapat dengan Takiyuddin sambil berkata Ahmad adalah calon sesuai untuk mengambil alih jawatan Haron Din.

Ahmad yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan dilantik sebagai Menteri Besar (MB) Kelantan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), menggantikan Presiden PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang memegang jawatan MB selama lima penggal.

Haron, 76, meninggal dunia di Hospital Stanford di San Francisco, California pada pagi Jumaat selepas koma akibat komplikasi jantung.

Dalam perkembangan berasingan, anak Haron, Hamdi mengesahkan bapanya akan dikebumikan di Amerika Syarikat.

“Ia satu keputusan sukar untuk kami. Namun dengan berat hati, kami memilih untuk menguruskan pengebumiannya secepat mungkin. Baba beritahu kami beberapa kali bahawa dia mahu dikebumikan di lokasi dia menghembuskan nafas terakhirnya.

“Jadi kami memilih untuk mengebumikan Baba di California. Jenazahnya akan dimandikan dan solat jenazah akan dilakukan selepas selesai solat Jumaat di Masjid AnNur di Santa Clara,” tulisnya di laman Facebook rasmi milik bapanya pada Jumaat.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *