Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Ahli Perniagaan Singapura Biayai Militan Daesh

Ahli Perniagaan Singapura Biayai Militan Daesh

KUALA LUMPUR, Ahli perniagaan warga Singapura yang ditahan di Johor Bahru pada 19 Disember tahun lalu dikenal pasti sebagai rakan subahat kepada militan Daesh rakyat Malaysia di Syria dikenali sebagai Akel Zainal.

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (MHA) Singapura dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan Mohamed Kazali Salleh, 48, membiayai perbelanjaan ketika Akel Zainal atau nama sebenarnya Wan Mohd Aquil Wan Zainal Abidin, ke Syria pada 2013.

“Suspek berpindah ke Johor Bahru bersama keluarganya sejak kecil dan bekerja di sana sejak lebih sedekad lalu.

“Suspek pertama kali bertemu Akel pada 2009 dan sejak itu dipercayai terpengaruh dengan pandangan radikal serta teori konspirasi perjuangan Daesh, selain dikatakan membiayai perbelanjaan Akel ke Syria pada 2013.

“Suspek turut menampung keperluan Akel di Syria hingga sekarang, selain turut berbai’ah dengan pemimpin Daesh, Abu Bakr Al-Baghdadi, atas desakan Akel,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut, Kazali pernah beberapa kali dipelawa berjuang di Syria namun tidak berbuat demikian kerana tidak sanggup meninggalkan keluarganya di Malaysia.

Dia juga dilaporkan giat menyebarkan kegiatan Akel di Syria di media sosial, bertujuan mempengaruhi penyokong Daesh berjuang di negara itu.

“Kazali turut berperanan sebagai pihak yang merancang perjalanan penyokong Daesh yang ingin berjuang di Syria melalui Akel,” katanya.

MHA dalam kenyataannya menyebut, pada Disember lalu, suspek pernah menerima arahan daripada Akel untuk menyerang ibu pejabat Freemasons di Johor Bahru namun dia enggan kerana takut ditahan pihak berkuasa.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan, semalam memaklumkan enam lelaki ditahan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana terbabit aktiviti keganasan di Johor, Selangor dan Sabah, antara 19 Disember 2018 hingga 28 Januari lalu termasuk dua warga asing.

Mohamad Fuzi berkata, tangkapan pertama dibuat ke atas seorang ahli perniagaan warga Singapura berusia 48 tahun di satu lokasi di Johor, 19 Disember tahun lalu.

Difahamkan, Kazali kini ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di negara itu. ISD turut menahan seorang pengikutnya, juga warga Singapura berusia 28 tahun baru-baru ini.

Leave a Reply

Top