Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Ahli Parlimen UMNO Dijangka Keluar Parti?

Ahli Parlimen UMNO Dijangka Keluar Parti?

KUALA LUMPUR, Empat ahli parlimen UMNO dari Sabah dilaporkan akan mengumumkan keluar parti hari ini.

Empat wakil rakyat itu adalah Ahli Parlimen Kudat, Abd Rahim Bakri; Ahli Parlimen Beaufort, Azizah Mohd Dun; Ahli Parlimen Libaran, Datuk Zakaria Edris dan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee.

Menurut laporan sebuah portal berita, daripada lima ahli parlimen UMNO di Sabah, cuma Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang tidak meninggalkan parti.

Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun ketika dihubungi, berkata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor akan mengadakan sidang media jam 1 tengah hari esok berkaitan perkara berkenaan.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman yang keluar UMNO dan menjadi ADUN Bebas sejak Ogos lalu mengisytiharkan menyertai Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi, Datuk Samsudin Yahya, turut dijangka mengumumkan keluar parti bersama beberapa ketua cawangan UMNO pada jam 3 petang ini untuk menyertai parti pemerintah.

Samsudin gagal mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang dimenangi calon WARISAN, Arifin Asgali yang mendapat 6,470 undi berbanding Samsudin hanya memperolehi 4,705 undi.

Samsudin adalah pemimpin UMNO ketujuh di negeri ini yang mengumumkan keluar parti.

Pada 19 September lalu, bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman mengumumkan keluar UMNO dengan alasan pernah berjanji kepada pengundi bahawa beliau akan meletak jawatan dalam parti sekiranya UMNO dan Barisan Nasional (BN) gagal menunaikan janji dalam perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963.

Sebelum itu, bekas Ketua Bahagian UMNO Beluran, Datuk James Ratib mengambil keputusan menyertai Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) dan menyokong pakatan WARISAN bersama Pakatan Harapan (PH), 16 Mei lalu.

Pada 11 Mei, empat pemimpin UMNO membabitkan ADUN Sebatik, Datuk Abdul Muis Picho, Datuk Hamisa Samat (Tanjung Batu), Datuk Osman Jamal (Balung) dan Jamawi Jaafar (Kemabong) keluar UMNO dan menyertai WARISAN untuk membentuk kerajaan negeri.

Leave a Reply

Top