MH Online

Laman Suara Rakyat

Ahli Parlimen PN Perlu Sedia Isytihar Harta

Ahli Parlimen PN Perlu Sedia Isytihar Harta

KUALA LUMPUR, Ahli Parlimen Pendang dari PAS, Awang Hashim mengesahkan sudah mengisytiharkan harta dalam usaha memastikan negara bebas rasuah seperti dipersetujui dalam Dewan Rakyat, tahun lalu.

Awang yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, borang perisytiharan harta itu diserahkan kepada sekretariat Parlimen, bulan lalu.

“Saya sudah serah borang perisytiharan harta kepada sekretariat Parlimen lebih sebulan lalu.

“Proses atau langkah susulan terserah kepada sekretariat berkenaan. Sudah semestinya saya berharap semua Ahli Parlimen dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) turut sama isytihar harta mereka,” dipetik sebagai berkata.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pengerang dari UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said turut bersedia mengisytiharkan harta jika parti memerlukan beliau untuk berbuat demikan.

“Kita ikut arahan parti (jika Ahli Parlimen dari UMNO perlu isytihar harta atau sebaliknya),” katanya.

Semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) yang dipengerusikannya membincangkan pelbagai isu termasuk status perisytiharan harta Ahli Parlimen seperti dinyatakan mengikut Kod Etika Anggota Pentadbiran.

Perdana Menteri dipetik sebagai berkata, setiap anggota pentadbiran perlu membuat perisytiharan harta dalam tempoh tiga bulan dari tarikh mengangkat sumpah.

Pada 1 Julai tahun lalu, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan usul mewajibkan semua Ahli Parlimen, termasuk pembangkang, mengisytiharkan harta mereka serta isteri atau suami, anak dan pemegang amanah dalam Akuan Berkanun.

Akuan Berkanun itu perlu dikemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh asal usul terbabit dan salinannya diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Semakan BH terhadap portal perisytiharan harta,mydeclaration.sprm.gov.my pula mendapati ia ditutup sementara bagi kerja penyelenggaraan.

Portal itu turut memaklumkan sebarang pertanyaan, aduan dan komen boleh disalurkan menerusi emel kepada urusetiamyd@sprm.gov.my.