Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Ahli Parlimen Jangan Lupa Diri

Ahli Parlimen Jangan Lupa Diri

OLEH: SHAHBUDIN HAJI EMBUN

Baru-baru ini isu tentang sikap ahli-ahli Parlimen yang tidak hadir sehingga menyebabkan tidak cukup kourom untuk memulakan persidangan telah menarik perhatian umum. Pelbagai isu dan persoalan tentang ahli parlimen dibincangkan. Ada yang mempertahankan dan memberi alasan kenapa ahli parlimen tidak hadir, dan meminta masyarakat faham akan tugas mereka yang berat.

Manakala ada juga yang terus menghentam dengan alasan sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk hadir bagi mengikuti persidangan Parlimen. Mereka yang tidak puas hati ini mencadangkan agar elaun dipotong, dan nama mereka disenarai hitam daripada bertanding pada PRU akan datang. Bahkan pelbagai lagi cadangan dikemukakan termasuklah mempamerkan nama-nama ahli Perlimen yang tidak hadir.

Bahkan ada juga yang mencadangkan, kalau merasakan tugas dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat terlalu berat , maka lebih baik mereka meletakkan jawatan. Dan memberi peluang kepada ahli Parlimen baharu yang lebih komited.

Jangan salahkan mereka yang marah dengan isu ini kerana rakyat yang memilih ahli sudah semestinya menaruh harapan agar parlimen berfungsi untuk mewakili dan meluahkan suara rakyat dengan sepenuhnya.

Adakah kita mempunyai ahli parlimen yang tidak mengambil berat akan tugas dan tanggungjawab yang dipikul. Mungkin satu kisah di barat boleh dijadikan sebagai contoh.

Pada tahun 2018, Parlimen Britain telah dikejutkan apabila Menteri Pembangunan Antarabangsa Britain, Michael Bates meletakkan jawatan selepas hadir lewat hanya beberapa minit ke sidang Parlimen. Disebabkan kelewatannya, Bates dikatakan terlepas satu soalan penting dari Baroness Lister . Bates menyifatkannya sebagai ‘perkara yang memalukan’ dan mendakwa dirinya ‘tidak mencapai standard’ kerajaan kerana datang lewat.

“Saya sangat-sangat malu kerana tidak berada di tempat yang sepatutnya pada waktu saya diperlukan, jadi saya akan menyerahkan surat peletakan jawatan saya kepada perdana menteri dengan segera”.Begitulah kenyataan yang dikeluarkan oleh Bates.

Ini merupakan antara contoh bagaimana seorang menteri dan juga ahli parlimen begitu mengambil berat akan tanggungjawab yang dipikulnya. Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika masih menjawat Menteri Kewangan tidak pernah gagal hadir Dewan Rakyat bagi mendengar perbahasan Ketua Pembangkang setiap kali belanjawan tahunan yang dibentangkan beliau.

Perkara ini pernah dinyatakan oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, beberapa tahun lalu ketika Wan Azizah berada di belah pembangkang .

Menurut Wan Azizah , Anwar ketika mememegang jawatan Menteri Kewangan, tidak pernah sekalipun tidak hadir ketika Ketua Pembangkang membahaskan bajet.

Ini jelas menunjukkan ketokohan dan jiwa besar beliau yang bersifat terbuka untuk menerima kritikan dan teguran daripada pihak pembangkang. Dan hari ini, Anwar juga difahamkan begitu kecewa dengan sikap ahli Parlimen yang tidak menghadiri sidang Dewan Rakyat sehingga menyebabkan masa persidangan terpaksa ditangguh.

Anwar mahukan ahli-ahli Parlimen khasnya dari pihak Pakatan Harapan untuk terus memberikan komitmen yang sepenuhnya bagi melaksanakan tanggungjawab yang dipikul sebagai wakil rakyat yang dpilih oleh rakyat.

Saya masih ingat akan kata-kata Anwar semasa beliau berucap di Padang Timur setelah dibebaskan pada tahun 2018 . Itu merupakan ucapan pertamanya selepas 3 tahun dalam pemenjaraan.

Pada malam itu, beliau menegur Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang terkejar-kejar jawatan menteri berbanding berkhidmat kepada rakyat.
“Saya sindir Ahli Parlimen ramai nak jadi menteri. Tengok cermin la dulu.

Rakyat bagi sokongan jadi jalankan lah kerja. Sibuk nak jadi menteri, Mereka harus diberi ruang menjalankan tugas. Kalau ada kekurangan, tegur mereka. Kalau mereka mewah berlebih-lebihan, kita terajang mereka,” kata Anwar kepada para penyokong pada malam itu.

Ini menunjukkan dari awal lagi Anwar sudah mengingatkan wakil rakyat supaya jangan leka dan jangan terus melayani mimpi indah yang boleh bertukar menjadi igauan yang mengerikan jika tangggungjawab gagal dilaksanakan.

Perlu diingatkan bahawa Ahli Parlimen mempunyai keistimewaan yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 63. Melalui peruntukan itu, ahli Parlimen boleh berbahas dan berhujah serta mewakili suara rakyat tanpa ada rasa gentar dan takut.

Itu sebabnya , mereka perlu hadir pada setiap sesi perbahasan sekiranya tidak mempunyai urusan yang lebih penting daripada sesi di Parlimen.
Tiada kompromi dalam hal ini.

Shahbudin Embun
Pengerusi Biro Politik Majlis Perundingan Melayu Malaysia (MPM)

Leave a Reply

Top