Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Ahli Parlimen BN Jumpa Azmin Adalah Golongan Merempat

Ahli Parlimen BN Jumpa Azmin Adalah Golongan Merempat

KUALA LUMPUR, Kumpulan Ahli Parlimen UMNO yang bertemu dengan menteri daripada Pakatan Harapan (PH) untuk memohon peruntukan bagi kawasan masing-masing digambarkan sebagai orang ‘merempat’.

Ketua UMNO Bahagian Bukit Gelugor, Datuk Omar Faudzar, tampil menempelak tindakan kumpulan berkenaan yang turut disifatkannya sebagai tiada jati diri sebagai orang UMNO.

“Saya nak beritahu, 18 bulan baru kita jadi pembangkang…berpuluh tahun PAS dan PKR jadi pembangkang, pernah tak mereka minta peruntukan daripada UMNO? Tidak ada.

“Ini baru 18 bulan, kita sudah merempat. Mana jati diri orang-orang UMNO? Kalau tiada jati diri, tidak usah jadi pemimpin, bagi dekat kami,” katanya sebelum disambut tepukan gemuruh daripada perwakilan.

Beliau yang mewakili UMNO Pulau Pinang berkata demikian ketika membahaskan usul Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-73 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Kenyataan Omar itu mempunyai kaitan dengan sekumpulan Ahli Parlimen UMNO yang mengadakan pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Presint 10, Putrajaya, bulan lalu.

Selain itu, Omar turut mendedahkan terdapat ahli UMNO di peringkat bawah yang ditawarkan jawatan sebagai ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), namun mereka menolaknya kerana semangat dan kesetiaan yang tinggi kepada parti.

Timbalan Pengerusi Tetap, Datuk Seri Rizuan Abd Hamid, bagaimanapun mencelah meminta supaya isu itu tidak dipanjangkan kerana sudah berlalu dan Ahli Parlimen yang dimaksudkan turut berada di dalam dewan.

Namun Omar berkata, beliau perlu membuat teguran itu kerana ia membabitkan persatuan yang dianggotainya.

“Apabila duduk dalam persatuan, kita ada Presiden. Ikutlah cakap Presiden. Kalau tidak mahu dengar, jangan duduk dalam persatuan,” katanya.

Omar berkata, enam bekas Ahli Parlimen UMNO meninggalkan parti itu pada Februari lalu juga adalah disebabkan isu peruntukan dan beliau dimaklumkan bahawa Ahli Parlimen terbabit menyangka terdapat lagi pemimpin lain yang akan keluar parti.

“Saya dapat tanya seorang dua (Ahli Parlimen yang keluar parti). Jawapan mereka, kami keluar sebab ingat ramai yang keluar, rupa-rupanya kami enam orang yang keluar, yang lain tidak keluar.

“Kita kata PH ‘kencing’ tapi dalam UMNO pun kena ‘kencing’. Apa nak jadi?” katanya.

Omar bagaimanapun berkata, teguran dibuatnya itu semata-mata kerana beliau sayangkan parti.

“Saya tegur sebab saya nak beritahu dalam setiap penyakit, ubat paling baik adalah ubat yang paling pahit. Jadi hari ini, saya bagi ubat yang paling pahit, terimalah,” katanya.

Leave a Reply

Top