MH Online

Laman Suara Rakyat

Ahli Parlimen BN Akan Sokong Belanjawan 2021

Ahli Parlimen BN Akan Sokong Belanjawan 2021

KUALA LUMPUR, Seramai 43 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bersetuju sebulat suara untuk memberi sokongan penuh terhadap Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat, lusa.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ia antara perkara dizahirkan dalam surat yang beliau utuskan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selain itu, beliau berkata, Ahli Parlimen BN juga bersetuju menyokong semua rang undang-undang (RUU) yang akan dibentangkan oleh pihak kerajaan.

“Seramai 43 Ahli Parlimen BN terdiri daripada Menteri, Timbalan Menteri dan Ahli Dewan Rakyat yang bermesyuarat, semalam, bersetuju sebulat suara untuk terus memberi sokongan tanpa berbelah bahagi kepada Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan, Jumaat ini.

“Begitu juga dengan semua RUU yang akan dibentangkan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Ahmad Zahid berkata, Ahli Parlimen BN juga bersetuju supaya Muhyiddin mempertimbangkan dua perkara, iaitu melanjutkan tempoh moratorium selama enam bulan atau sebahagian daripadanya bagi mereka yang berkelayakan bawah kumpulan B40 dan M40.

“Selain itu, meluluskan pengeluaran sejumlah wang daripada Akaun Satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi mereka yang layak serta memenuhi syarat tertentu,” katanya.