MH Online

Laman Suara Rakyat

Agong Titah Semua Ahli Parlimen Sokong Belanjawan 2021

Agong Titah Semua Ahli Parlimen Sokong Belanjawan 2021

KUALA LUMPUR, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan ahli Parlimen agar mengutamakan kebajikan rakyat dan kesejahteraan negara supaya Belanjawan 2021 diluluskan tanpa sebarang gangguan.

Al-Sultan Abdullah menegaskan bahawa Belanjawan 2021yang akan dibentangkan di Parlimen pada masa yang terdekat adalah amat penting kepada kerajaan dan pihak-pihak berkuasa khususnya petugas barisan hadapan.

Berikut adalah kenyataan penuh Istana Negara:

Adalah dimaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah lbni Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menasihati ahli ahli Dewan Rakyat untuk memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Al-Sultan Abdullah menegaskan bahawa Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Parlimen pada masa yang terdekat adalah amat penting kepada kerajaan dan pihak-pihak berkuasa, khususnya para petugas barisan hadapan, untuk meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha-usaha membendung dan menangani ancaman wabak ini dari terus merebak.

Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah menyeru ahli-ahli Dewan Rakyat menghormati titah nasihat Seri Paduka untuk mereka memberhentikan segera segala perbalahan politik dan sebaliknya mengutamakan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara supaya Belanjawan 2021 diluluskan tanpa sebarang gangguan.

Seri Paduka mengingatkan ahli-ahli Dewan Rakyat bahawa sengketa politik untuk kepentingan peribadi masing-masing akan merugikan negara dan seluruh rakyat akan menjadi mangsa pada ketika negara masih lagi bergelut menghadapi ancaman wabak Covid-19 ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian selepas menerima menghadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara hari ini.

Dalam sesi menghadap yang berlangsung lebih satu jam dari 8 pagi ini, Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima taklimat ringkas berkenaan Belanjawan 2021 yang akan dibentang di Parlimen pada 6 November 2020.

Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan Seri Paduka agar Belanjawan 2021 ini memberi penekanan kepada pemulihan ekonomi negara dan kesejahteraan serta kelangsungan hidup rakyat yang terkesan akibat penularan Covid-19.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan keyakinan penuh kemampuan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menerajui kepimpinan negara pada saat negara sedang diuji dengan pelbagai krisis ini.

Mesyuarat Pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Al-Sultan Abdullah untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan Kerajaan.

Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara