Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah hari ini berkenan berangkat ke majlis santapan tengah hari bersama kira-kira 200 warga media.

Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut berangkat ke majlis santapan yang diadakan di Istana Negara.

Kehadiran warga media itu diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad.

Majlis itu diadakan bagi mengeratkan hubungan antara istana dan pengamal media serta memberi penghargaan ke atas peranan besar media dalam menghubungkan institusi diraja dan rakyat.

Majlis itu juga diadakan bagi meraikan pengamal media sebelum tamatnya tempoh pemerintahan baginda tidak lama lagi.

Antara pengamal media yang hadir di majlis itu ialah Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zulkefli Salleh dan Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab.

Turut hadir Ketua Pengarah Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) Datuk Abu Bakar Ab Rahim, Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian Datuk Abdul Jalil Ali dan Penolong Ketua Pengarang Utusan Malaysia Datuk Mohd Hassan Mohd Noor.

Pada majlis santapan itu, baginda berdua turut berkenan bergambar bersama pengamal media.

Tuanku Abdul Halim akan menamatkan tempoh sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 12 Dis ini dan akan digantikan oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Baginda mencatat sejarah setelah ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua pada 2012 selepas ditabalkan buat pertama kali pada 1970.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *