MH Online

Laman Suara Rakyat

Agong Minta Rakyat Terus Patuhi SOP

Agong Minta Rakyat Terus Patuhi SOP

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini meminta rakyat supaya mematuhi garis panduan yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Al-Sultan Abdullah bertitah, rakyat juga perlu berdisiplin dengan amalan kebiasaan baharu dan melakukan kawalan kendiri.

Gesaan baginda itu dimaklumkan dalam satu kenyataan di Facebook Istana Negara, susulan pembukaan lebih banyak sektor sosial dan prasekolah, tabika dan tadika kerajaan serta swasta, yang dibenarkan beroperasi bermula hari ini.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah hari ini turut berkenan menerima menghadap Perdana Menteri ,Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat pra-Kabinet di Istana Melawati, Putrajaya.

Istana Negara memaklumkan, sesi berkenaan berlangsung selama satu jam bermula jam 8 pagi.

Mesyuarat pra-Kabinet itu kembali diadakan di Istana Melawati hari ini, selepas diadakan secara sidang video sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), 18 Mac lalu.

“Mesyuarat pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Al-Sultan Abdullah untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu berkaitan kerajaan,” katanya.