MH Online

Laman Suara Rakyat

Agihan Kerusi PN Sudah Hampir Selesai

Agihan Kerusi PN Sudah Hampir Selesai

MARANG, Perikatan Nasional (PN) sudah menyelesaikan 50 peratus pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata hal pembahagian kerusi dilakukan secara berperingkat dan ketika ini ada beberapa negeri yang sudah memulakan proses itu.

“Kita tak boleh tetap tarikh lagi (selesai isu pembahagian kerusi), kita tetap peringkat demi peringkat. Rasanya sudah 50 peratus dan ada sebahagian negeri sudah pun ada pembahagian.

“(Cuma) calon dan kawasan bertanding yang belum dipastikan lagi, tetapi kita nak pastikan akan menang seberapa banyak kerusi,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan kuliah Jumaat secara dalam talian di Masjid Rusila, di sini hari ini.

Ditanya mengenai penggunaan lambang bagi menghadapi PRU-15, Ahli Parlimen Marang itu berkata, tiada sebarang perbincangan dibuat mengenai isu lambang kerana tarikh PRU belum ditetapkan lagi.

“Logo belum bincang lagi, PRU pun belum tetap lagi dan sama ada kita akan guna lambang PAS atau sebaliknya, tengok atas persetujuan Muafakat Nasional (MN) dan PN kerana perbincangan kini dimulakan dengan pembahagian kerusi,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, PN bersedia untuk menghadapi PRU-15 secara mengejut.

Bagi memperkuatkan kerajaan PN, katanya, mandat harus dikembalikan kepada rakyat untuk memilih.

“Kita bersedia bila-bila masa, kita perlu usaha kerana perlu mendapat mandat secara langsung daripada rakyat.

“Sekarang ini, kita dapat mandat daripada wakil rakyat. Ahli Parlimen membuat persetujuan sehingga kita mendapat majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan PN… untuk memastikan kerajaan lebih teguh, perlu kepada mandat secara langsung daripada rakyat.

“Mengenai kesepakatan PN yang bersetuju meletakkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri pada PRU-15, ia dilihat menerusi prestasi Perdana Menteri berdasarkan kaji selidik serta tindak balas daripada rakyat,” katanya.

Mengulas kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang menyatakan bahawa Muafakat Nasional tidak berlaku di Terengganu, Abdul Hadi berkata, ia hanya pandangan peribadi bekas menteri besar itu.