Menurut Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Afrika mempunyai bilangan pelarian yang sangat tinggi iaitu sebanyak 80 peratus populasi pelarian di seluruh dunia.

Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) mendakwa dunia kini menghadapi kadar pelarian tertinggi dalam sejarah di mana seramai 65.3 juta orang terpaksa meninggalkan rumah masing-masing dek kerana peperangan, konflik dalaman, kemarau atau kelemahan ekonomi.

Di Ethiopia sahaja, terdapat hampir 740,000 pelarian , kebanyakannya daripada  warga Somalia, Eritrea, Sudan dan selatan Sudan lebih-lebih lagi apabila negara itu menjalankan dasar pintu terbuka serta mengalu-alukan kehadiran pelarian dengan memberi perlindungan dan  juga bantuan kemanusiaan.

Seorang pelarian, Nyahok yang berasal dari selatan Sudan di Kem Kule yang terletak di rantau Gambella Ethiopia, sempat menikmati keamanan buat seketika apabila negaranya memperoleh kemerdekaan namun semuanya berubah apabila terdapat konflik pada tahun 2013 hingga memaksa beliau dan keluarganya ke kem tersebut.

“Di Sudan Selatan, kami punyai makanan yang cukup, sekolah dan juga haiwan ternakan namun apabila perang bermula, kami terpaksa meninggalkan segala-galanya dan melarikan diri.

“Sebagai pelarian, kami bercucuk tanam untuk mendapatkan wang namun masih lagi punyai masalah untuk makan dan saya ke sekolah dengan berkaki ayam,” katanya dengan nada sedih.

Gadis muda berusia itu yang kini di gred ketujuh persekolahan bercita-cita untuk menjadi seorang juruterbang selepas melihat pesawat bantuan PBB berlepas di rumahnya di selatan Sudan.

“Saya ingin pergi ke kawasan lain di dunia ini dan membantu mereka yang memerlukan,” katanya lagi.

Bagaimanapun hasratnya itu mungkin sukar untuk dipenuhi memandangkan sekolah di kemnya hanya menawarkan pengajian sehingga gred ke-10 sahaja.

Sementara itu, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon mendakwa pelarian ini tidak seharusnya dinafikan masa depan mereka.

“Apabila tiba di sebuah negara yang baru, pelarian ini memerlukan tempat perlindungan, makanan, rawatan air dan juga keselamatan yang terjamin,” katanya.

September lalu, Perhimpunan Agung PBB di New York telah diadakan buat pertama kali di peringkat tertinggi untuk menangani keperluan kemanusiaan sejumlah besar pelarian dan juga pendatang.

Ban juga mengisytiharkan Deklarasi Pelarian dan pendatang yang menambah bilangan dan laluan undang-undang pada pelarian untuk diterima atau ditempatkan semual di negara ketiga.

Hampir 34,000 orang terpaksa menjadi pelarian setiap hari kerana konflik dalaman ataupun penganiayaan dan pada masa yang sama terdapat hampir 10 juta orang tanpa kerakyatan di seluruh dunia yang dinafikan kewarganegaraannya serta akses kepada hak-hak asas seperti pendidikan, penjagaan kesihatan, pekerjaan dan kebebasan bergerak.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *