Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Afif Didakwa Sabotaj Kongres PKR

Afif Didakwa Sabotaj Kongres PKR

GEORGETOWN, Bekas Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin semalam menerima surat tunjuk sebab atas dakwaan melakukan sabotaj dengan terbabit dalam kekacauan pada Kongres AMK di Melaka, Disember lalu.

EXCO Pulau Pinang itu meluahkan rasa terkilan dengan surat yang dikeluarkan itu dan memaklumkan beliau akan berbincang dengan rakannya dalam parti yang menerima surat sama berhubung dakwaan yang dikenakan ke atas mereka.

“Komitmen kami jelas kerana kami mahu parti berjalan dengan lancar dan isu dengan pimpinan parti perlu ditangani dengan sebaik mungkin.

“Bagi saya sekarang, rakyat sedang menilai PKR dan kepimpinan parti. Saya bukan lagi kepemimpinan parti, saya seorang ahli biasa dan Timbalan Ketua Cabang PKR Permatang Pauh.

“Bagaimanapun, saya percaya akar umbi parti dan rakyat sedang menilai bagaimana Majlis Pimpinan Pusat mengambil pendirian untuk menguruskan parti hari ini,” katanya ketika mengulas mengenai surat berkenaan.

Dr Afif berkata beliau diberikan 14 hari untuk menjawab surat berkenaan.

“Saya yakin anda sudah melihat surat itu dan boleh menilainya sendiri. Saya akan lihat…kerana inilah kali pertama saya mendengar mengenainya (dakwaan).

“Sebelum ini, sejak kongres sehingga sekarang, tiada apa-apa komunikasi yang mengatakan saya melakukan apa-apa kesalahan.

“Kehadiran saya di kongres itu adalah sebagai ahli dan perwakilan, malah saya juga sebagai pemerhati yang dipilih oleh sekretariat parti.

“Justeru, apabila saya dituduh oleh Lembaga Disiplin parti, saya tidak pasti motifnya atau siapa yang membuat aduan,” katanya sambal menegaskan bahawa soalan itu harus dijawab parti dan Lembaga Disiplin PKR.

Katanya, sebagai anggota parti yang selama ini konsisten dalam mempertahankan disiplin parti serta amalan demokratik sebagai parti reformis, beliau mempunyai tanggungjawab untuk mengembalikan parti itu ke landasan yang betul.

Ditanya berapa ramai lagi yang menerima surat sama, Dr Afif berkata, beliau masih memeriksa mengenainya kerana surat itu hanya diterimanya petang tadi.

“Apa yang saya tahu, mereka yang diberikan surat itu adalah ahli parti. Mereka adalah aktivis parti, penggerak sayap AMK yang memainkan peranan penting dalam mendapatkan sokongan daripada golongan muda, yang membawa kepada kejayaan kita pada pilihan raya umum lalu.

“Majoriti mereka sudah bersama PKR sepanjang hidup mereka.

“Justeru, jika anda bertanya saya mereka daripada pasukan mana, mereka adalah ahli parti yang juga pemimpin di peringkat akar umbi dan berjuang selama ini mempertahankan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presiden PKR) dan perjuangan parti,” katanya.

Leave a Reply

Top