MH Online

Laman Suara Rakyat

Ada Sebab Peronda Polis Bergerak Melawan Arus

Ada Sebab Peronda Polis Bergerak Melawan Arus

JOHOR BAHTU, Tindakan sebuah kereta peronda polis (MPV) yang bergerak melawan arus berhampiran Plaza Tol Perling, dekat sini, awal pagi semalam, adalah bagi memberi respon awal kemalangan yang berlaku di kawasan berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Datuk Mohd Kamarudin Md Din, berkata kejadian berlaku di antara Kilometer 23 Lebuhraya Linkedua Arah Timur (Plaza Tol Perling) dengan lokasi kemalangan di Kilometer 22.1 Lebuhraya Linkedua Arah Timur.

Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi semalam, kereta peronda daripada Unit Peronda Lebuhraya Zon Selatan dalam penugasan rondaan mencegah kemalangan.

“Ketika berada berhampiran Plaza Tol Perling arah pusat bandar, beberapa pengguna jalan raya memaklumkan kepada anggota peronda lebuh raya terbabit berkaitan kemalangan berlaku tidak jauh dari tempat anggota berkenaan berada.

“Bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya lain, peronda lebuh raya berpatah balik ke lokasi kemalangan bagi membantu mangsa memandangkan lokasi kemalangan hanya diterangi lampu jalan dan jarak dari Plaza Tol Perling kira-kira 1.5 kilometer.

“Tindakan diambil bagi memberi respon awal dan segera dalam membantu mangsa kemalangan, selain mengawal penyuraian trafik di lokasi kemalangan sebelum bantuan kecemasan tiba, ” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, tular video berdurasi 34 saat berhubung tindakan sebuah MPV polis menyongsang arus dipercayai menyebabkan kemalangan sebuah kereta dan sebuah motosikal.

Mohd Kamarudin berkata, semua langkah keselamatan sudah diambil dengan memasang lampu mata arah (beacon light), siren dan menggunakan lorong kecemasan.

Katanya, tindakan segera berpatah balik terpaksa diambil kerana jumlah lalu lintas pada masa itu tidak sesak dan selamat untuk tindakan awal serta berdekatan kedudukan akhir kereta peronda bagi bantuan keselamatan.

“Kedua-dua anggota peronda lebuh raya terbabit mengawal penyuraian lalu lintas di lokasi kemalangan dengan memperlahankan kenderaan, selain membantu mangsa kemalangan sementara menunggu pasukan paramedik tiba.

“Bagaimanapun, siasatan terperinci masih dijalankan,” katanya.