Bekas Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, sama ada badan itu dipimpin ahli politik ataupun ahli perniagaan bukanlah satu isu kerana yang lebih penting adalah memastikan dana Kafa terjamin.

“Masalah utama semua persatuan bola sepak semestinya kewangan, (persatuan) bola mana pun bukan Kafa sahaja, semua orang.

“Bibi Ramjani (Ilias Khan) memang minat bola tetapi (dibelenggu) masalah kewangan, jadi orang yang nak ganti perlu yang lebih baik.

“Mana-mana pun tidak mengapa, orang politik pun kalau dia boleh membantu kewangan dan ada minat maka boleh, orang berniaga pun boleh, tetapi kalau sekadar nak kejar jawatan maka akan rosaklah Kafa,” dipetik sebagai berkata.

Beliau diminta mengulas ura-ura beberapa ahli politik dan perniagaan mahu mencalonkan diri untuk pemilihan barisan kepimpinan baharu Kafa khususnya jawatan Presiden dalam kongres agung luar biasa (EGM) pada 6 Julai ini.

Esok adalah hari terakhir untuk calon menghantar borang pencalonan sebelum pukul 12 tengah hari.

Pada 18 Jun lalu, Bibi Ramjani yang mencatat sejarah sebagai wanita pertama menjadi Presiden Kafw mengumumkan peletakan jawatannya setelah menerajui persatuan itu tidak sampai dua tahun.

Sementara itu, Annuar berkata, sebagai orang yang bertanggungjawab membawa pelbagai kejayaan kepada pasukan Kelantan termasuklah mengasaskan jenama ‘The Red Warriors’ sehingga menjadi antara kuasa bola sepak tempatan, beliau sangat dukacita dengan nasib pasukan itu sekarang.

“Saya berharap kepimpinan Kafa yang baharu boleh bawa Kelantan balik ke Liga Super, sebab itulah matlamat kita dulu, Kelantan sebagai jaguh bola mesti berada di Liga Super, kalau main di liga lain bagi kita sudah jadi kelas dua dalam bola sedangkan negeri ini bumi yang berbakat,” katanya.

Pasukan TRW kini berada di tangga kesepuluh dalam Liga Perdana setelah mengharungi 16 perlawanan iaitu satu tangga di hadapan Sarawak.