Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Ada Cubaan Larikan Diri Dari Taman Langat Murni

Ada Cubaan Larikan Diri Dari Taman Langat Murni

KUALA LUMPUR, Ada cubaan penduduk, dipercayai warga asing, untuk melarikan diri dari kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara pentadbiran di Taman Langat Murni, Kuala Langat.

Perkara itu disahkan oleh polis berikutan penemuan dua beg berisi pakaian berhampiran kawat duri yang memagari kawasan terbabit dan kesan cubaan memotong kawat duri berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman, berkata kejadian itu dipercayai berlaku beberapa hari lalu dan disedari anggota polis yang bertugas melakukan rondaan selepas menemui beg berisi pakaian.

Bagaimanapun secara keseluruhan, beliau berkata, penduduk di kawasan berkeluasan hingga 4.1 kilometer itu amat patuh kepada arahan dikenakan terhadap mereka dan hanya keluar apabila perlu seperti membeli barangan keperluan serta kecemasan.

“Penduduk juga diberikan surat pengesahan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) selepas disahkan negatif COVID-19, dan dibenarkan keluar untuk bekerja semula sejak Isnin lalu,” katanya kepada Bernama.

Azizan berkata, PKP secara pentadbiran itu dijadualkan berakhir pada 16 Jun ini, tertakluk kepada sebarang arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM.

Leave a Reply

Top