Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, 67, pada Jumaat dilantik sebagai Ketua Menteri baharu Sarawak menggantikan Tan Sri Adenan Satem yang meninggal dunia Rabu lepas.

Timbalan presiden parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu yang lengkap berpakaian baju Melayu hitam, mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Sarawak keenam di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud di Astana, kediaman rasmi ketua negeri di sini.

Turut hadir, isteri beliau Datin Amar Jumaani Tuanku Bujang, anggota-anggota Kabinet negeri, anggota Dewan Undangan Negeri dan kakitangan kanan awam.

Abang Johari atau dikenali mesra dengan nama Abang Jo, merupakan seorang daripada tiga timbalan ketua menteri di bawah pentadbiran Allahyarham Adenan, selain Datuk Amar Douglas Uggah dan Tan Sri Dr James Masing.

Merupakan seorang ahli politik veteran, Abang Johari berkecimpung dalam politik lebih daripada 30 tahun.

Beliau merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Satok selama sembilan penggal.

Abang Johari yang berkelayakan jurutera, buat pertama kali bertanding bagi kerusi itu, pada 1981.

Beliau mempunyai 10 orang adik beradik daripada keluarga ternama Sarawak yang mempunyai sejarah panjang di negeri ini.

Allahyarham bapanya Tun Abang Haji Openg merupakan Yang Dipertua Negeri Sarawak pertama selepas Sarawak mencapai kemerdekaan daripada Britain dan selepas pembentukan Malaysia pada 1963.

Adenan yang memegang jawatan Ketua Menteri selama hampir tiga tahun, meninggal dunia Rabu lepas kerana komplikasi jantung di Pusat Jantung Sarawak, Hospital Umum Kota Samarahan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *