PUTRAJAYA, Kira-kira 92 peratus daripada 10,180 sekolah melepasi sasaran 65 peratus dalam menarik kehadiran dan pembabitan ibu bapa dalam aktiviti sekolah tahun lepas.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pencapaian itu membabitkan enam aktiviti utama di bawah Sarana Ibu Bapa, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2016-2025.

Aktiviti itu adalah hari pendaftaran, hari penetapan sasaran, mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), hari pelaporan, hari sukan dan hari anugerah.

“Ini menunjukkan kesediaan dan kesungguhan waris membantu meningkatkan pencapaian murid dan kecemerlangan sekolah,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pendidikan di sini, hari ini.

Seramai 471 orang menerima anugerah pada majlis itu yang turut dihadiri Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Alias Ahmad dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamed Yusof.

Mahdzir berkata, Kementerian Pendidikan juga akan memperluaskan inisiatif ‘My New School’ kepada lapan sekolah tahun ini iaitu masing-masing sebuah di Kedah, Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang serta masing-masing dua sekolah di Sabah dan Sarawak.

Inisiatif untuk mentransformasikan, menaik taraf atau membaik pulih sekolah daif di luar bandar di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) telah dilaksanakan di empat sekolah sebelum ini iaitu masing-masing dua di Sabah dan Sarawak, katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *