Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > 9 Penguat Kuasa Akan Didakwa Esok

9 Penguat Kuasa Akan Didakwa Esok

GEORGETOWN, Sembilan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dijangka didakwa di mahkamah esok atas 162 pertuduhan melindungi syarikat lori.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan hari ini, berkata semua suspek akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Butterworth, jam 8.30 pagi.

“Ia membabitkan sebanyak 162 pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 iaitu menerima suatu suapan sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan.

“Semua suspek dikatakan melindungi syarikat lori yang melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010,” katanya.

Baru-baru ini, beberapa saksi yang juga adik-beradik dan bekerja di syarikat logistik di Pulau Pinang berjaya dikesan SPRM, bagi siasatan kes penguat kuasa JPJ Pulau Pinang yang didakwa menerima rasuah bagi melindungi pemandu lori.

Pada 23 April lalu, dua daripada 21 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang bagi kumpulan ketiga yang diarah menghadiri sesi rakaman percakapan di Pejabat SPRM negeri di sini, diberi pengecualian daripada menjalani sesi berkenaan.

Seorang suspek dikecualikan berikutan mengalami kecederaan akibat kemalangan, manakala seorang lagi kini ditahan di penjara di Indonesia

Sehingga kini, seramai 74 penguat kuasa JPJ negeri berjawatan daripada Gred 19 hingga Gred 32 sudah menjalani rakaman percakapan bagi membantu siasatan kes terbabit.

Difahamkan, sekurang-kurang 75 anggota penguat kuasa dan pegawai JPJ disyaki menerima rasuah daripada pemilik syarikat lori dengan tangkapan dijangka dibuat dalam operasi seterusnya.

Setiap anggota JPJ terbabit dipercayai menerima bayaran antara RM10,000 hingga RM32,000 secara bulanan sebagai dorongan untuk melindungi pemandu lori lebih muatan dengan tidak mengambil tindakan.

Mereka turut didakwa membocorkan maklumat operasi yang akan dan sedang dijalankan JPJ, selain kumpulan lori berkenaan dilindungi menggunakan pelekat khas dikatakan hanya dikenali serta difahami penguat kuasa terbabit.

Leave a Reply

Top