Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > 9 Banduan Jalani Fasa Akhir Program Diredikalisasi

9 Banduan Jalani Fasa Akhir Program Diredikalisasi

PUTRAJAYA, Sembilan banduan yang sedang menjalani hukuman kerana kesalahan terbabit keganasan dijadualkan menjalani fasa terakhir program diredikalisasi.

Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar, berkata fasa keempat program itu akan bermula hujung bulan ini.

“Program diredikalisasi pengganas yang dijalankan Jabatan Penjara membabitkan empat fasa terbahagi untuk tempoh 24 bulan.

“Sembilan banduan akan menjalani fasa akhir program hujung bulan ini dan kita juga sedang menilai mereka yang berada di fasa tiga program berkenaan,” katanya ketika sesi pembentangannya pada Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya (PISD) 2018 di sini, hari ini.

Pada 2016, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, seramai 130 individu ditahan berkaitan Daesh, diletakkan di bawah program diredikalisasi itu.

Menjelaskan lebih lanjut, Zulkifli berkata, program berkenaan bermula dengan proses kuarantin 14 hari dengan melakukan temu bual awal, pemeriksaan kesihatan dan ujian psikologi.

Katanya, ia diteruskan dengan fasa pertama selama enam bulan yang lebih kepada orientasi mengenali diri dan kemudian fasa dua selama tujuh hingga 12 bulan iaitu modulnya menekankan kepada pembangunan semula personaliti.

“Bagi fasa ketiga dan keempat, penekanan diberi terhadap aspek psikologi tahanan ini,” katanya.

Beliau berkata, bagi penilaian bersepadu terhadap tahanan berkenaan, 20 peratus daripadanya akan dilakukan Kementerian Dalam Negeri, 40 peratus oleh Jabatan Penjara dan 40 peratus oleh polis.

Zulkifli berkata, Jabatan Penjara turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk memastikan keberkesanan program pemulihan itu.

Sementara itu, pensyarah di S Rajaratnam School of Studies, Singapura, Nur Azlin Mohamed Yasin, berkata penutupan besar-besaran terhadap laman web mempromosikan keganasan pada 2014 menunjukkan keberkesanan untuk melumpuhkan kegiatan rekrut kumpulan pengganas.

Katanya, komitmen diberikan syarikat gergasi seperti Facebook dan Google untuk menyekat keganasan, berjaya menghentikan propaganda yang banyak dilakukan sekitar tahun 2012 serta 2013.

“Apabila laman web ini ditutup, pengganas buntu sebab terpaksa buka banyak laman web baharu yang kemudiannya disekat, selain banyak pengikut mereka kecewa kerana hilang punca,” katanya.

Leave a Reply

Top