MH Online

Laman Suara Rakyat

867 Laporan Polis Berkaitan hina Agama Hindu

867 Laporan Polis Berkaitan hina Agama Hindu

KUALA LUMPUR, Polis menerima 867 laporan di seluruh negara berhubung klip video yang dianggap mempunyai unsur penghinaan terhadap agama Hindu oleh seorang penceramah bebas yang dikaitkan dengan tokoh pendakwah terkenal dari India, Zakir Naik.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata pada masa ini pihak polis sedang meneliti semua laporan yang dibuat berhubung kenyataan pendakwah bebas berusia 34 tahun itu yang didakwa berbaur penghinaan.

“Pada masa ini kes berkenaan akan disiasat oleh pihak Bukit Aman selepas pendakwah itu ditahan di Arau, Perlis dan dibawa ke sini.

“Setakat pagi ini (11.30 pagi) saya dimaklumkan sebanyak 867 laporan polis dibuat oleh pelbagai pihak terhadap pendakwah itu yang kini masih dalam tempoh reman dan kita juga tidak menolak kemungkinan laporan polis akan meningkat,” katanya selepas Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis juga sedang mengesan pemilik akaun YouTube, Info Sunnah Kelantan, selepas memuat naik video penceramah berkenaan.

“Pada masa ini kami sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengesan pemilik video berkenaan bagi membantu proses siasatan,” katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keharmonian atau perpaduan.

Mohamad Fuzi turut menasihatkan orang ramai untuk tidak menyalahgunakan media sosial atau sebarang rangkaian komunikasi untuk memuat naik atau berkongsi sebarang bentuk elemen provokasi yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dalam kalangan masyarakat berbilang agama dan bangsa di negara ini.

Suspek yang juga pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ditahan pada jam 2.30 pagi di hadapan sebuah restoran di Arau, selepas selesai menghadiri satu program debat atau diskusi agama anjuran NGO miliknya di sebuah institusi pengajian negeri di negeri ini.