Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > 8000 Ekor Lembu Dibunuh Kerana TB Tak Benar

8000 Ekor Lembu Dibunuh Kerana TB Tak Benar

PUTRAJAYA, Kenyataan bahawa 7,000 hingga 8,000 ekor lembu di Selangor telah disingkirkan kerana dijangkiti penyakit tuberkulosis (TB) adalah tidak benar, kata Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

Jabatan itu berkata hanya 11 ekor lembu tenusu yang positif TB telah disingkirkan melalui kaedah eutanasia oleh DVS Selangor pada tahun ini manakala sebanyak 68 ekor disingkirkan pada 2016 dan 57 ekor pada 2017.

“Berdasarkan data bancian DVS Selangor 2016, bilangan lembu tenusu di negeri ini adalah sebanyak 5,775 ekor.

“Oleh yang demikian umum tidak perlu risau tentang susu dan daging yang dihasilkan. Ia selamat untuk diminum dan dimakan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Jabatan itu berkata mengikut piawaian yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Haiwan Dunia (OIE), ternakan yang dijangkiti penyakit TB tidak akan dirawat tetapi perlu disingkirkan.

DVS berkata penyingkiran ternakan positif TB adalah sebagai langkah kawalan untuk mengelakkan penularan penyakit tersebut dan pampasan akan dibayar mengikut kadar yang telah ditetapkan.

Baru-baru ini beberapa keping gambar dan sebuah rakaman audio mengenai penyingkiran sembilan ekor lembu tenusu yang dijangkiti TB oleh DVS Selangor telah tular di media sosial.

Rakaman audio dalam bahasa Tamil dan bahasa Inggeris itu menyatakan sebanyak 7,000 hingga 8,000 ekor lembu di Selangor telah dibunuh kerana dijangkiti penyakit TB, selain menasihatkan orang ramai agar tidak meminum susu lembu.

Menurut DVS, gambar tersebut menunjukkan beberapa kakitangan DVS Selangor sedang menanam lembu tenusu yang telah disingkirkan mengikut prosedur yang telah digariskan dalam Protokol Veterinar Malaysia: Tuberkulosis.

Katanya gambar yang dirakam di Sungai Nilam pada 10 Jan dan 21 Feb lepas itu adalah prosedur dalam Program Survelan dan Kawalan Penyakit Haiwan.

Leave a Reply

Top