Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > 8 Tapak Pembinaan Diarah Tutup

8 Tapak Pembinaan Diarah Tutup

KUALA LUMPUR, Sebanyak lapan daripada 1,398 tapak pembinaan yang beroperasi diarah ditutup berikutan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Infrastruktur), Datuk Seri Fadillah Yusof, dalam kenyataan hari ini memaklumkan Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) memeriksa 6,363 tapak pembinaan di seluruh negara dari 20 April hingga Selasa lalu, dan didapati 1,398 tapak mula beroperasi dan 4,965 belum beroperasi.

“Daripada sejumlah 1,398 tapak yang beroperasi, sebanyak 1,118 (80 peratus) didapati mematuhi SOP, sementara 272 (19 peratus) didapati tidak patuh dan diberi amaran, manakala lapan (satu peratus) tapak pembinaan diarah tutup.

“Projek diarah tutup oleh CIDB di Jalan Damai, Kampung Dato Keramat dan Mukim Batu, di Kuala Lumpur; tiga tapak pembinaan di Kedah iaitu Taman PKNK Jalan Tun Razak Bandar Alor Setar, Bandar Alor Setar di daerah Kota Setar, Mukim Kuah di daerah Langkawi dan Mukim Pulai di daerah Baling serta dua projek di Pahang iaitu Genting Permai mukim Bentong dan Bandar Tun Razak Jengka di Maran,” katanya.

Menurut beliau, antara SOP yang gagal dipatuhi ialah tidak menjalankan ujian saringan COVID-19, tidak mengikut SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan 90 peratus kepatuhan SOP tidak dipraktikkan.

SOP lain yang gagal dipatuhi adalah tiada pasukan COVID-19 yang bertanggungjawab memastikan pematuhan SOP dan kontraktor tidak berdaftar dengan CIDB.

Fadillah berkata, kementerian meminta semua kontraktor mematuhi contoh amalan terbaik pematuhan SOP supaya lebih banyak projek pembinaan dapat mula beroperasi sepenuhnya dan memberi impak positif kepada ekonomi negara.

“Antara SOP perlu dipatuhi setiap projek pembinaan termasuk memastikan semua pekerja warga asing menjalani ujian saringan COVID-19 dan disahkan bebas daripada jangkitan sebelum boleh mula bekerja.

“Pematuhan SOP ini dilihat berjaya mengesan kes positif dalam kalangan pekerja binaan, sebelum mereka mula bekerja. Ini membolehkan mereka serta kontak rapat dikuarantin dan mengelakkan penularan wabak berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, semua pekerja juga perlu diperiksa dan direkodkan suhu mereka sebelum masuk ke tapak pembinaan setiap hari, dan apa juga gejala dikesan menerusi saringan harian dibuat perlu dilaporkan kepada Pejabat Kesihatan berdekatan untuk tindakan lanjut.

Katanya, tiga tapak pembinaan ditutup di bawah Kementerian Kesihatan sehingga 1 Jun adalah di Kampung Datuk Keramat, Jalan Ampang (31 kes positif) dan Seksyen 68, Jalan Ampang (61 kes positif) di ibu negara dan Setia Alam, Seksyen U13, Shah Alam. (13 kes positif).

Leave a Reply

Top