MH Online

Laman Suara Rakyat

6 Syarikat Telco Dikompaun MCMC

6 Syarikat Telco Dikompaun MCMC

KUALA LUMPUR, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan 15 kompaun bernilai RM700,000 kepada enam syarikat telekomunikasi atas kesalahan pendaftaran kad SIM prabayar tanpa membuat pengesahan maklumat pengguna.

MCMC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kompaun tersebut dikeluarkan pada 1 Oktober lalu bagi kesalahan yang dilakukan tahun lepas.

Kesemua kompaun mengikut Seksyen 127 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dibaca bersama Seksyen 242 Akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

U Mobile Sdn Bhd menerima kompaun tertinggi dengan lima kompaun bernilai RM250,000 diikuti Celcom Axiata Berhad dan Tune Talk Sdn Bhd masing-masing sebanyak tiga kompaun RM150,000.

Dua kompaun dikeluarkan kepada Maxis Broadband Sdn Bhd bernilai RM100,000 manakala satu kompaun masing-masing untuk YTL Communications Sdn Bhd satu (RM40,000) dan Tone Plus Sdn Bhd (RM10,000).

“Tindakan yang diambil ini mencerminkan ketegasan dan komitmen MCMC dalam memastikan kepentingan pengguna sentiasa terpelihara supaya proses pendaftaran kad SIM prabayar mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya.

“Selain tindakan penguatkuasaan, MCMC mengambil pelbagai langkah proaktif lain termasuk berkaitan pendaftaran kad SIM menggunakan Platform Automatik yang sulit (encrypted) dan terjamin sahaja.

“Penyedia perkhidmatan juga tidak akan mendaftarkan mana-mana pelanggan baharu untuk memiliki lebih daripada lima kad SIM untuk setiap individu,” kata MCMC dalam kenyataan tersebut.

Pihak MCMC turut menegaskan bahawa tidak berkompromi dalam perkara terbabit dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang gagal untuk mematuhi garis panduan yang ditetapkan.