Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > 6 Drone PDRM Pantau Lembah Klang

6 Drone PDRM Pantau Lembah Klang

KUALA LUMPUR, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan enam dron bagi memantau pergerakan rakyat di beberapa lokasi tumpuan sekitar Lembah Klang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini.

Antara lokasi penggunaan dron itu ialah Pasar Borong Selayang, Pasar Keramat, Chow Kit dan Little India Brickfields dengan waktu operasi bermula jam 7 pagi hingga 6 petang setiap hari.

Ketua Unit Dron Pasukan Gerakan Udara PDRM, Superintendan Rasha Azaldin Shafii, berkata dron itu yang dilengkapi dengan alat teknologi pengesan haba dan pembesar suara boleh memantau pergerakan individu secara lebih meluas selain di kawasan sempit.

“Banyak dron digunakan negara lain seperti China, Jepun dan Korea yang turut menghadapi isu wabak COVID-19.

“Ia adalah langkah terbaharu diambil kerana penggunaannya berbeza berbanding kaedah konvesional dengan adanya pengesan haba selain dapat melihat sesiapa berkeliaran dan tidak mematuhi arahan PKP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengetuai operasi dron di Little India Brickfields, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai pembesar suara dron, Rasha Azaldin berkata, ia dilihat sebagai kaedah efektif bagi menyampaikan amaran dan maklumat di kawasan lebih luas dan jauh.

“Amaran dan peringatan boleh disampaikan kepada orang ramai secara menyeluruh dengan penggunaan dron berkenaan di lokasi tumpuan.

“Tindakan boleh dikenakan kepada mana-mana individu yang melanggar arahan itu,” katanya.

Leave a Reply

Top