Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Pawagam komuniti jamin ‘everyone can watch’ wayang – Persatuan Anak Kelantan

Pawagam komuniti jamin ‘everyone can watch’ wayang – Persatuan Anak Kelantan

Cadangan untuk mewujudkan pawagam komuniti adalah idea yang paling bernas untuk negeri seunik Kelantan.

Timbalan Pengerusi Biro Penerangan dan Aduan Persatuan Anak Anak Kelantan Darul Naim, Wan Syahrul Amry Wan Mansor berkata, pawagam yang patuh syariah dan bersifat kekeluargaan itu bakal memberi nilai tambah kepada institusi kekeluargaan di negeri itu.

“Setiap filem yang dihasilkan adalah hasil pakar dalam bidang berkenaan, manakala pemilihan judul juga adalah tugas penting dalam memastikan apa yang ditawarkan untuk penonton merupakan naskah yang sangat bermanfaat.

“Pawagam ini juga bakal menjadi pawagam alternatif dan platform untuk semua jenis pembikin filem mempamirkan hasil karya mereka, kerana syarat yang ditetapkan lebih fleksibel dan bersifat membantu,” katanya di sini hari ini.

Jelasnya, ia merupakan hasil perbincangan¬†‘Dialog: Perlukah Pawagam Komuniti Di Kelantan?‘ yang diadakan di Auditorium, Content Malaysia Pitching Centre pada Rabu.

Ia merupakan dialog anjuran wanajaib.com dengan kerjasama Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Content Malaysia Pitching Centre.
Sebelum ini, Wan Syahrul Amry dilaporkan menjelaskan, pengumuman Finas untuk menggubal semula syarat Skim Wajib Tayang merisaukan semua pembikin filem tempatan terutama mereka yang masih baru dalam industri berkenaan.

Tegasnya, kerisauan itu turut menakutkan pembikin filem prolifik dan indie yang masih bertatih untuk menerbitkan filem sendiri.

Dalam pada itu katanya, kewujudan pawagam komuniti yang akan dimulakan di Kelantan itu kelak akan mematuhi syariah serta peraturan kerajaan negeri.

“Kalau Kelantan, ia akan patuh syariah. Contohnya, ia akan mengasingkan lelaki perempuan, pemilihan kandungan juga akan mengikut kehendak kerajaan negeri.

“Ia pawagam rakyat, Finas yang akan kendalikannya, pastinya murah dan tidak menyusahkan penonton. Sama seperti konsep penerbangan harga patut, cuma pawagam ini memastikan ‘everyone can watch’ wayang.

“Konsep ini akan dibawa seluruh negara tetapi mukadimah dan eksperimennya di Kelantan dahulu,” ujarnya.

Jelasnya lagi, ia turut disokong wakil Finas selain beberapa artis terkemuka negara.

Leave a Reply

Top