Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > 510 Gelandangan Ditempatkan Sementara Di Dewan Serba Guna

510 Gelandangan Ditempatkan Sementara Di Dewan Serba Guna

KUALA LUMPUR, Seramai 510 gelandangan ditempatkan sementara di empat dewan serba guna di sekitar Kuala Lumpur selepas diselamatkan bagi membendung penularan COVID-19.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama agensi lain mengambil inisiatif menyelamatkan gelandangan yang berada di sekitar pusat bandar raya Kuala Lumpur bermula 26 Mac lalu hingga semalam.

“Sepanjang operasi ini kami mengenal pasti beberapa lokasi panas bagi gelandangan dengan menjadikan ia tempat bermalam.

“Mereka yang diselamatkan ini ditempatkan di tempat dewan serba guna iaitu di Pusat Komuniti Sentul Perdana, Pusat Komuniti Setiawangsa, Dewan Serbaguna Alam Damai dan Dewan Serbaguna Tasik Ampang Hilir,” katanya selepas melawat gelandangan di Pusat Komuniti Sentul, di sini, hari ini.

Beliau berkata selain gelandangan warga tempatan ada juga warga asing dipercayai dari Indonesia, Myanmar, Vietnam, Jepun, India, Syria, Mesir, Sri Langka, Korea, Pakistan dan Somalia yang akan ditempatkan sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat.

“Selain itu, kita juga dapat mengumpul data jumlah gelandangan yang ada di Kuala Lumpur dengan menggunakan sistem biometrik di mana ia akan dapat digunakan agensi lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kita ingin membantu mereka dan gelandangan ini turut menjalani ujian saringan dikendalikan Kementerian Kesihatan namun setakat ini tiada yang positif Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, DBKL menyediakan tilam, bantal, dan kelengkapan lain dengan jumlah peruntukan dianggarkan RM2 juta.

“Mereka ini ada yang bekerja dan tidak bekerja di mana faktor penyumbang mereka menjadi gelandangan adalah tiada pekerjaan, miskin, masalah mental, warga asing tiada pekerjaan, tidak upaya urus diri, ditinggalkan keluarga, terbabit dengan dadah dan arak serta bekas banduan,” katanya.

One thought on “510 Gelandangan Ditempatkan Sementara Di Dewan Serba Guna

  1. boleh kah sy dan isteri menumpang di dewan komuniti setiawangsa kerana kami tidak ada tempat tinggal.

Leave a Reply

Top