Sebanyak lima buah negara bakal mengambil bahagian dalam 1st World Sama Fest yang bakal mengetengahkan hiburan dalam ketaatan mengikut garis panduan syarak yang ketat.

Setiausaha Agung, Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia (Pertama), Sheikh Abdul Kareem Said Khadaied, berkata, festival seumpama itu pertama kali dianjurkan di dunia dalam usaha mencetuskan rasa cinta terhadap Islam.

“Tujuan festival ini adalah untuk memupuk masyarakat agar cinta kepada agama tetapi menerusi hiburan.

“Tetapi hiburan itu adalah berlandaskan syariat Islam dan kita pegang ketat kepada hukum dan syarak yang ketat.

“Alhamdulillah menerusi festival ini bukan sahaja menampilkan penyanyi nasyid Malaysia tetapi dari seluruh dunia termasuk Syria dan Amerika Syarikat,” katanya.

1st Worl Sama’ Fest akan diadakan di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada 28 Julai ini bermula 8 malam.

Antara artis yang bakal menyertai festival itu adalah pelakon Johan As’ari bersama kumpulan Suara Pertama, Raihan, Khalwati Ushaqqi (Turki), Nur Muhammadi (Maghribi), Hassan Khurshid (Pakistan), Rabitah An Nur (Syria) dan Chicago Mawleed Committe (Amerika Syarikat).

Tarian Darwish daripada Turki turut dipersembahkan pada acara itu nanti.

Penyanyi Datuk Nash dan Datuk Hattan juga bakal tampil mengadakan persembahan istimewa.

Dalam pada itu, Sheikh Abdul Kareem berkata, pada acara itu nanti persembahan artis nasyid tidak akan diiringi oleh alat muzik bertali yang dilarang dalam Islam.

“Tidak akan ada perempuan pada persembahan yang diadakan selain tiada sebarang alatan muzik bertali.

“Sebenarnya kami kagum dengan semangat artis yang terlibat kerana bukan mudah untuk menyanyi tanpa muzik dan sanggup menyertai dalam mengangkat misi festival itu,” katanya.

1st World Sama Fest bakal dimeriahkan dengan pelbagai acara seperti alunan bacaan Al-Quran, zikir dan persembahan nasyid.

Pihaknya menjangkakan seramai 2,800 hadirin akan hadir pada acara itu nanti.

Tiket 1st World Sama’ Fest dijual pada harga serendah RM89 hingga RM489.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *