Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > 5 Direman Bantu Siasatan Salah Guna Kuasa Projek RM23 Juta

5 Direman Bantu Siasatan Salah Guna Kuasa Projek RM23 Juta

KUANTAN, Lima individu termasuk tiga pegawai syarikat pengurusan air di negeri ini direman empat hari bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa membabitkan projek bernilai RM23 juta.

Semua suspek berusia di antara 35 hingga 51 tahun terbabit tiba di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, pada jam 9.15 pagi, selepas ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Syarifah Nor Syuhada Tuan Mamat sehingga Khamis ini, selepas membenarkan permohonan SPRM yang dibuat Penguasanya, Muhammed Fiqrun Md Talip.

Semua mereka direman mengikut Seksyen 16 (b) (A) dan Sekyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Mengikut fakta, lima suspek terbabit ditahan antara jam 3.50 petang hingga 10.40 malam tadi, selepas hadir ke Pejabat SPRM Pahang untuk diambil keterangan.

Semua mereka ditahan selepas dipercayai bersekongkol dengan tujuh suspek yang ditahan pada Khamis lalu termasuk seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan tiga pegawai kanan syarikat pengurusan air itu untuk memonopoli projek pembekalan air di Pahang.

Pada masa sama, SPRM turut mengemukakan permohonan sambungan reman terhadap tujuh individu yang direman selama empat hari bermula Jumaat lalu, kepada Syarifah Nor Syuhada, yang kemudiannya membenarkan sambungan reman selama tiga hari kepada semua suspek.

Semua suspek berusia 30-an hingga 60 tahun yang diwakili peguam Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar, Zamri Idrus dan Datuk Davis Yee Fei Churn, disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Media sebelum ini melaporkan satu lagi badan pengurusan air di negara ini turut dicemari skandal rasuah selepas skandal sama dibongkar SPRM membabitkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) beberapa tahun lalu.

Difahamkan kegiatan pegawai kanan itu sudah berlangsung sejak 2014 lagi dan sepanjang tempoh empat tahun kebelakangan ini, projek-projek yang dikeluarkan badan negeri itu dimonopoli dan dikawal oleh seorang kontraktor.

Leave a Reply

Top