MH Online

Laman Suara Rakyat

44 Orang Pegawai TCS Terlibat Dalam Pertukaran Jawatan Baru

KUALA TERENGGANU, Seramai 44 pegawai tadbir perkhidmatan kerajaan negeri (TCS) terlibat dalam pertukaran jawatan baru di beberapa agensi dan jabatan kerajaan yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2018.

Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, proses pertukaran ini dilakukan berikutan persaraan pegawai-pegawai kanan seperti Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Mohd Zulkifli Abu Bakar, Pengarah Tanah dan Galian Datuk Mohd. Akil Mat dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu Datuk Mohd. Yasim Awang.

‘Kita berharap rombakan struktur pegawai akan memberi kekuatan kepada pentadbiran kerajaan negeri selaras dengan konsep TTB Transformasi Kerajaan iaitu berasaskan penawaran perkhidmatan berbanding menyediakan perkhimatan pada sebelum ini’.

‘Di kesempatan ini juga, saya mengambil peluang untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Pengarah Tanah dan Galian yang baharu iaitu Yang Berbahagia Dato’ Haji Wan Mohd bin Wan Ibrahim. Tahniah juga kepada Tuan Haji Samiun bin Salleh yang menjadi Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan Encik Wan Ismail Sahaimi bin Haji Wan Omar yang menjadi Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu yang baharu’, katanya selepas Majlis Serah Tugas Pegawai Kanan Negeri dan Angkat Sumpah Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Wisma Darul Iman.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail, Pegawai Kewangan Negeri Dato’ A. Rahman Yahya dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) Zainal Abidin Hussin.

Sementara itu Ahmad Razif memberitahu satu jawatankuasa khas Bajet 2018 akan diwujudkan bagi memantau dan memastikan perjalanan setiap touch point dilaksanakan mengikut perancangan yang ditetapkan.

‘SUK akan mempengerusikan jawatankuasa pemantauan Bajet 2018 kerana kita nak pastikan semua touch point diputuskan dalam Bajet 2018 akan dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan dan berjalan dengan baik’.

‘Kita juga melaksanakan star rating untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) seluruh negeri Terengganu kerana kita berharap J3K akan memainkan peranan dan mengenal pasti masalah-masalah yang berlaku di setiap kawasan kampung dan seterusnya akan disalurkan kepada pejabat daerah (untuk tindakan susulan)’, tambahnya.