MH Online

Laman Suara Rakyat

4000 Guru Takmir Dapat Elaun Penuh

4000 Guru Takmir Dapat Elaun Penuh

KUALA LUMPUR, Seramai 4,000 guru takmir masjid lantikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di seluruh negara akan menerima elaun penuh sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, Hakimah Mohd Yusoff, berkata elaun penuh itu akan diberikan walaupun guru berkenaan tidak dapat melaksanakan tugas masing-masing ekoran perintah terbabit.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bersetuju supaya pembayaran elaun penuh iaitu sebanyak RM800 diteruskan kepada guru takmir walaupun sesi pembelajaran tidak dapat diadakan sepanjang tempoh berkenaan.

“Ini adalah sebahagian inisiatif #Musaadahcovid19 diperkenalkan menteri bagi meringankan beban pihak yang terjejas dengan wabak COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara bagi membendung penularan COVID-19 berkuat kuasa 18 hingga 31 Mac ini, mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.