Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > 400 Pemilih Sahaja Setiap Saluran

400 Pemilih Sahaja Setiap Saluran

KUALA LUMPUR, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bercadang untuk mengehadkan jumlah maksimum pemilih kepada 400 orang saja bagi setiap saluran, berbanding 600 orang sebelum ini pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Pahang, 4 Julai depan.

Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun, berkata ia adalah antara cadangan prosedur operasi standard (SOP) yang dikemukakan pihaknya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebelum dimuktamadkan untuk diguna pakai pada PRK berkenaan.

Azhar berkata, SPR sudah mengadakan perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), KKM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi pelaksanaan PRK itu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan akan memastikan setiap proses selari dengan langkah kawalan penyebaran COVID-19.

Selain itu katanya, SPR juga akan menambah maklumat baharu pada kad pengundi (VC) yang dihantar kepada pengundi iaitu ‘Masa Keluar Mengundi Yang Digalakkan’, selain dipaparkan pada laman web SPR.

“Pengundi adalah digalakkan untuk keluar mengundi pada tempoh waktu itu bagi pematuhan penjarakan sosial dan mengurangkan kesesakan di pusat serta saluran mengundi.

“Bagi urusan kempen pilihan raya, SPR akan memastikan sebarang bentuk aktiviti kempen yang boleh dilaksanakan adalah selari dengan arahan kerajaan yang berkuat kuasa pada tempoh PKPB,” katanya.

Beliau juga memaklumkan, SPR akan meneruskan penyiaran secara langsung proses pilihan raya menerusi Facebook Live di laman Facebook SPR seperti PRK sebelum ini.

“SPR juga akan menyiarkan kepada umum keputusan tidak rasmi PRK yang tertakluk kepada pengesahan melalui laman web rasmi dan media sosial SPR serta paparan skrin di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi,” katanya.

Leave a Reply

Top