JOHOR BAHRU, Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang menyediakan pelbagai khidmat kepada masyarakat bakal diwujudkan di empat lagi negeri tahun ini, kata Pengarah Unit Strategik Nasional Kementerian Kewangan Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Beliau berkata pengwujudan UTC di Negeri Sembilan, Perlis, Selangor dan Pulau Pinang itu adalah menerusi Bajet 2017.

“UTC di Ampangan, Negeri Sembilan dan Kangar, Perlis sedang dalam fasa pembangunan manakala UTC di Shah Alam, Selangor dan Pulau Pinang masih dalam peringkat perbincangan serta mengenal pasti tapak.

“Kita menjangkakan UTC di Ampangan dapat dibuka pada 15 Mei ini manakala UTC di Kangar pada Julai atau Ogos ini,” katanya di sini, Jumaat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima lawatan delegasi Persidangan ”Delivering Services Through One-Stop” membabitkan 80 peserta dari 29 negara termasuk Kazakhstan, Belarus, Nepal, Rusia, Jerman, Kemboja, Denmark dan Slovakia, ke UTC Johor di Galleria@Kotaraya di sini.

Persidangan anjuran Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan Bank Dunia itu berlangsung di Singapura sejak Rabu lepas hingga hari ini.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata setakat ini, terdapat 18 UTC di seluruh negara yang merekodkan seramai 46 juta pengunjung sehingga Mac lepas dan kerajaan menerima banyak cadangan daripada Anggota Parlimen untuk mewujudkan UTC di kawasan masing-masing.

“Bagaimanapun, tahun ini kita menumpukan hanya empat UTC ini dahulu sebelum diperluaskan ke tempat lain,” katanya dan menambah sekurang-sekurangnya 30 agensi disediakan di UTC terutamanya Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Pengangkutan Jalan.

Menurut Aminuddin, kos mewujudkan UTC bergantung kepada bangunan yang dicadangkan kerajaan negeri dan agensi yang akan diletakkan di situ, namun, kebiasaannya antara RM15 juta dan RM50 juta.

Beliau berkata selain menyediakan perkhidmatan, UTC turut digalakkan menjadi pusat kemasyarakatan dan sukan dalam kalangan generasi muda.

“Kita mahu anak muda datang melepak ke UTC. Peranan UTC pada masa depan akan dijadikan seperti balai raya pada zaman dahulu yang mana orang ramai menjalankan aktiviti kemasyarakatan di situ,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *