Seramai  4.2 juta rakyat Malaysia yang sudah layak mengundi tidak mendaftar sebagai pemilih.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, perkara itu amat membimbangkan kerana jumlahnya besar dan kebanyakannya terdiri daripada golongan muda.

“Perkara yang menjadi kebimbangan SPR kini ialah generasi muda yang tidak mendaftar mengundi dan juga generasi yang tidak keluar mengundi.

“Mengundi ini satu tanggungjawab penting terhadap negara tetapi kenapa ramai yang tidak melakukannya?,” soalnya, semalam.

Sebelum ini, laporan menunjukkan ramai golongan muda terdiri daripada mahasiswa tidak mendaftar sebagai pemilih, malah 40 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia yang layak mengundi adalah generasi muda.

Sementara itu, beliau turut meminta rakyat supaya tidak salah faham dan mengaitkan SPR dengan politik di negara ini.

“Jika tidak setuju dengan mana-mana parti sekalipun, yang pentingnya ialah mendaftar dan juga keluar mengundi ketika PRU.

“Selain itu, kami di SPR ingin menegaskan bahawa jika rakyat menyokong parti mana pun, itu bukan menjadi kepentingan kami, tetapi yang kami pentingkan ialah jumlah yang keluar mengundi,” katanya.

Dalam pada itu katanya, mesej yang tular di media sosial mengenai pendaftaran mengundi sebelum 30 September tahun lalu, berjaya menarik pendaftar baharu walaupun mesej itu tidak benar.

“Ketika isu ini menjadi tular di media sosial, jumlah rakyat yang mendaftar pemilih sangat ramai. Malah rakyat di luar negara juga turut sama berbuat demikian.

“Dianggarkan lebih 500,000 jumlah pendaftaran mengundi yang kami terima sebelum berakhirnya tarikh tersebut,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *