MH Online

Laman Suara Rakyat

36 Majikan Bakal Terima Pembantu Rumah Minggu Ini

PUTRAJAYA, Seramai 36 majikan akan menerima pembantu rumah asing (PRA) mulai minggu ini selepas menyelesaikan urusan pendaftaran dan dokumentasi menerusi Sistem Maid Online (SMO).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata buat masa ini, kesemua majikan itu sedang menunggu keputusan Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA), dijangka selesai dalam tempoh tiga hari.

Katanya, secara dasar pihaknya mengambil masa maksimum lima hari bagi memproses permohonan majikan dan PRA, sejak SMO mula dibuka untuk permohonan, pada 1 Januari lalu.

“Proses saringan kesihatan dan keputusan di FOMEMA pula kebiasaannya akan mengambil masa antara tiga hingga lima hari.

“Seramai 36 majikan itu akan menjadi kumpulan pertama yang berjaya mendapatkan PRA menerusi SMO, ” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis Perhimpunan Setia Berjasa, di sini, hari ini.

Mustafar berkata, selepas mendapatkan kelulusan di FOMEMA, majikan perlu hadir ke Jabatan Imigresen bersama PRA mereka bagi pengambilan data biometrik.

Beliau berkata, Jabatan Imigresen seterusnya akan mengeluarkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan i-kad (kad identiti pekerja asing mengikut sektor) kepada PRA.

Katanya, sehingga kini seramai 3,141 majikan sudah berjaya mendaftarkan diri memohon PRA menerusi SMO.

“Setakat malam tadi, SMO sudah menerima 111,000 pelawat yang melayari portal berkenaan sejak 1 Januari lalu.

“Setakat 31 Disember lalu, seramai 127,991 PRA didaftarkan di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, katanya sepanjang tahun lalu, lebih 50,000 individu dikenakan Notis Penolakan Masuk (NTL) ke negara ini atas pelbagai kesalahan imigresen seperti tidak memiliki dokumen cukup dan sah untuk masuk ke negara ini.

Selain itu, katanya setiap pejabat Jabatan Imigresen di lapangan terbang akan melaksanakan 100 peratus sistem tapisan kedua kepada pelawat yang masuk dari negara berisiko tinggi bagi mengelak ancaman keganasan.

Beliau berkata pihaknya akan sentiasa memastikan kedaulatan dan keselamatan negara sentiasa terpelihara dan pada masa sama, tidak membiarkan anasir luar yang mengancam keselamatan negara masuk dengan begitu mudah.

“Kita tidak akan berkompromi soal keselamatan kerana ia ketetapan dan dasar ditetapkan Jabatan Imigresen sendiri dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Kita akan buat semakan teliti kemasukan terutama membabitkan pelancong, pelajar atau ekspatriat menerusi biometrik, visa dan pasport,” katanya