Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > 33 Individu Ingkar Arahan PKP

33 Individu Ingkar Arahan PKP

JOHOR BAHRU, Polis menahan 33 individu yang ingkar arahan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sejak 18 Mac lalu hingga semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Maydin Pitchay, berkata daripada jumlah itu, seramai 19 individu adalah tangkapan harian kes ingkar arahan PKP, semalam.

“Kesemua tangkapan ini disiasat dan akan didakwa mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Mana-mana orang yang melakukan kesalahan tidak mematuhi apa-apa perintah yang sah dikeluarkan oleh mana-mana pegawai diberikan kuasa, boleh disabitkan mengikut Seksyen 24 Akta 342.

“Jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan maksimum dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata, kesalahan turut disiasat mengikut Peraturan (3) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan didenda RM 1,000.

“Justeru, masyarakat dinasihatkan supaya sentiasa berada di rumah dan tindakan yang tegas akan diambil bagi mereka yang tidak mematuhi PKP ini,” katanya.

Leave a Reply

Top