PUTRAJAYA, Bajet 2018 akan dibentangkan di Parlimen pada 27 Oktober ini, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata demikian dalam ucaptamanya ketika mempengerusikan Majlis Konsultasi Bajet 2018 bertema Negaraku Membentuk Masa Depan di Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Beliau berkata, setiap cadangan dan pandangan rakyat akan didengar kerajaan dalam menggubal bajet negara.

“Setiap isu yang dibangkitkan dan cadangan yang dikemukakan akan diperhalusi dan diberi pertimbangan sewajarnya.

“Majlis Konsultasi ini adalah satu platform yang penting bagi sektor awam, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memberi pandangan dan maklum balas terhadap cabaran dan isu semasa serta langkah menanganinya.

“Inilah dasar keterbukaan dan keprihatinan kerajaan dalam mendahulukan kepentingan rakyat,” katanya.

Turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Othman Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Beliau berkata, meskipun pelbagai negara berhadapan dalam ketidaktentuan ekonomi dunia, Malaysia masih mampu menghadapi cabaran ini dengan pelbagai langkah dan inisiatif termasuk melaksanakan Dasar Transformasi Nasional.

“Kalau kita tidak buat dasar ini, mungkin kita berhadapan dengan kemelesetan ekonomi atau berhadapan dengan situasi ekonomi yang lebih sukar,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *