MH Online

Laman Suara Rakyat

22 Sekolah Daif Di Kota Belud Dikenal Pasti

22 Sekolah Daif Di Kota Belud Dikenal Pasti

KUALA LUMPUR, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengenal pasti sejumlah 22 buah sekolah di Kota Belud, Sabah yang mempunyai bangunan daif sehingga 1 Oktober 2020 lalu.

Timbalan Menteri Pendidikan ll, Muslimin Yahaya berkata, daripada jumlah itu, lima sekolah mempunyai bangunan daif berskala tujuh iaitu keadaan bangunan sekolah tidak selamat dengan pengesahan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Selain itu, terdapat 17 buah sekolah yang mempunyai bangunan daif pada skala enam iaitu bangunan sekolah yang tidak selamat dengan pengesahan daripada pihak teknikal Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan dibangkitkan Isnaraissah Munirah (Warisan-Kota Belud) mengenai senarai sekolah berstatus daif yang terdapat di Kota Belud dan apakah proses dilakukan kerajaan Persekutuan setakat ini.

Dalam pada itu, Muslimin berkata, KPM juga mengemukakan permohonan untuk membina bangunan gantian bagi lima buah sekolah mempunyai bangunan daif di kawasan Kota Belud dalam Rolling Plan 1 Tahun 2021, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Walau bagaimanapun, kelulusan permohonan ini adalah tertakluk kepada kedudukan kewangan kerajaan,” katanya.

Muslimin berkata, terdapat 20 projek menaik taraf dan pembangunan semula bangunan daif di sekolah di Parlimen Kota Belud yang telah diluluskan dengan peruntukan berjumlah RM98.1 juta.

Menurutnya, skop projek menaik taraf dan pembinaan bangunan gantian ini merangkumi pembinaan bilik darjah, blok pentadbiran, asrama, rumah guru, dewan makan, pusat sumber, bilik sains, tandas dan kemudahan lain yang berkaitan.

Beliau berkata, sehingga kini sembilan projek telah siap iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kiau I, SK Timbang, SK Kepasang, SK Lasau Tintapon, SK Taburan, SK Rampayan Ulu, SK Taun Gusi, SK Suang Punggor dan SK Tempasuk 1.

“Selain itu, lima projek iaitu SK Tempasuk ll, SK Sayap, SK Pituru, SK Gensurai dan SK Tarintidon sedang dalam fasa pembinaan.

“Projek naik taraf dan pembangunan semula bagi SK Sarang, SK Ulu Kukut, SK Podos, SK Ambong dan SK Nahaba sedang dalam proses perolehan.

“Untuk makluman Yang Berhormat, sehingga kini proses penilaian tender telah selesai dan Surat Setuju Terima (SST) akan dikeluarkan pada hujung Disember 2020,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, bagi projek SK Dudar baharu diluluskan di bawah Program Pembangunan Semula Bangunan Sekolah Daif di Sabah tahun 2020 projek ini masih dalam proses reka bentuk dan penyediaan dokumen tender.

“Tender dijangka akan diiklankan pada akhir Disember 2020,” katanya.