Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > 21 Jalan Ditutup Sempena ‘PDRM Night Run 2018’

21 Jalan Ditutup Sempena ‘PDRM Night Run 2018’

KUALA LUMPUR, Sebanyak 21 jalan di ibu negara akan ditutup dan dilencongkan bersempena acara larian PDRM Night Run 2018 di Dataran Merdeka bermula 7 malam hingga 1 pagi pada 17 Mac ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata orang ramai dinasihatkan untuk menggunakan pengangkutan awam seperti perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) dan Monorail sebagai alternatif untuk masuk ke pusat bandar.

“Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut bekerjasama dengan Waze (perisian navigasi GPS) untuk memaklumkan laluan alternatif kepada pengguna jalan raya sepanjang tempoh jalan itu ditutup.

“Lebih 200 anggota polis akan ditugaskan untuk mengawal lalu lintas sepanjang program itu berlangsung,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya kira-kira 10,000 peserta dijangka menyertai larian bersempena Hari Polis Ke-211 itu yang terbahagi kepada tiga ketegori iaitu 5 kilometer, 10 kilometer dan 21 kilometer.

Mazlan berkata jalan-jalan yang akan ditutup dan dilencongkan ialah Jalan Raja, Jalan Kinabalu, Jalan Sultan Hishamudin, Jalan Lembah, Jalan Perdana, Jalan Tanglin, Jalan Cenderawasih, Jalan Parlimen, Jalan Kuching, dan Jalan Langgak Tunku.

Turut ditutup dan lencongkan ialah Jalan Tunku, Jalan Sultan Sallahudin, Jalan Tun Ismail, Jalan Raja Laut, Jalan Tun Perak, Jalan Damansara (muzium), Jalan Maharajalela, Jalan Sultan Ismail, Jalan Putra, Lebuhraya Sultan Iskandar dan Jalan Tuanku Abdul Rahman.

“Polis juga menasihat pengguna jalan raya untuk memanfaatkan kawasan tempat letak kereta di kawasan yang telah ditetapkan dan tidak pakir di tepi jalan sehingga mengganggu lalu lintas,” katanya.

Menurutnya orang ramai yang mahukan maklumat lanjut berhubung penutupan jalan tersebut juga boleh merujuk kepada laman media sosial rasmi PDRM atau menghubungi Hotline Trafik KL 03-20719777.

Leave a Reply

Top