Seramai 205 anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan menjalani latihan ala komando secara berperingkat di Ulu Kinta, Perak bermula Julai ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam, Bahagian Penguatkuasaan Datuk Zulkifli Yahya berkata latihan pasukan taktikal senjata itu merupakan sebahagian usaha bagi melatih mereka menangani kes berprofil tinggi.

“Latihan yang mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi lain itu akan menggunakan modul VAT 69 atau 69 Komando yang merupakan sebuah pasukan khusus multi spektrum bercorak ketenteraan atau separa tentera.

“Pasukan khas ini juga diwujudkan supaya dapat membantu anggota Kastam dalam menjalankan tugasan mereka yang sememangnya berisiko menerima pelbagai ugutan dan ancaman,” katanya selepas menjadi tetamu Program Dalam Radar di Bernama Radio24 di sini hari ini.

Mengulas operasi penyeludupan mercun, Ops Pacak yang dijalankan bersama agensi lain, beliau berkata pihaknya akan memastikan tiada mercun dibawa masuk secara haram ke negara ini menjelang musim perayaan Aidilfitri ini.

“Setakat ini, Kastam berjaya menumpaskan sebanyak 54 kes dengan nilai rampasan bernilai RM550,000,” katanya

Zulkifli berkata operasi yang dijalankan di seluruh negara itu turut memberi tumpuan terhadap kawasan ‘panas’ aktiviti penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti penyeludupan boleh menghubungi JKDM di talian 1-800-88-8855, katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *